Struktur pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) akan disusun semula bagi membolehkan kursus dan program yang ditawarkan kembali berasaskan kepada pertanian.

Ketika mengumumkan demikian, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UPM seakan telah berubah wajah daripada kolej pertanian terkemuka dahulu kepada universiti pertanian dan kini ia tidak lagi menjadikan pertanian sebagai asas pengajiannya.

Beliau yakin lebih banyak lagi kategori sains pertanian yang boleh diketengahkan dan berpotensi dijadikan sebagai kursus baru di UPM, menurut laporan Bernama .

Menurutnya, perubahan selaras dengan penekanan dan dasar kerajaan menjadikan sektor ini antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Keputusan itu juga bertepatan dengan langkah kementerian untuk menilai semula keperluan jangka panjang sumber tenaga manusia dalam industri pertanian, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Agrobazaar Putrajaya di Presint 16, di Putrajaya hari ini, Muhyiddin berkata perkara itu telahpun mendapat persetujuan kerajaan selepas dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Isi kekosongan

Beliau berkata kementeriannya, dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, akan mengadakan perbincangan dengan Naib Canselor serta pihak pengurusan universiti itu bagi menrealisasikan langkah penyusunan semula UPM.

Bagaimanapun, beliau mengakui tempoh pelaksanaan penyusunan semula UPM akan mengambil masa.

Menurutnya lagi, penyusunan semula UPM difikirkan perlu memandangkan negara mesti melahirkan lebih ramai graduan pertanian bagi mengisi kekosongan jawatan separuh profesional dalam bidang berkenaan pada masa depan.

Graduan UPM di peringkat diploma, ijazah dan ijazah lanjutan diharap dapat mengisi kategori gunatenaga manusia di peringkat pengurusan, penyeliaan dan teknikal.

"Sudah tentu dengan cara begini anak-anak muda kita akan turut berminat menjadi petani. Mereka tidak memikirkan jadi petani biasa sahaja, tapi petani moden," katanya.

UPM, yang diasaskan sebagai sebuah universiti pertanian, memulakan sesi akademik yang pertama pada tahun 1973. Ianya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia sehingga pengisytiharan nama baru Universiti Putra Malaysia pada tahun 1977 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad.

Nama baru ini menggambarkan UPM menawarkan pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi di samping program berkaitan pertanian, perhutanan dan veterinar.