Ramai minta rumah mampu milik dalam Bajet 2013
Sebilangan besar individu yang memberikan cadangan dalam tinjauan yang dijalankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan perumahan mampu milik sebagai perkara utama yang perlu diberi perhatian kerajaan dalam Bajet 2013.
Sejumlah besar daripada 100 cadangan yang disenaraikan mengikut populariti itu meminta perdana menteri mengambil langkah untuk memastikan perumahan mampu dimiliki, khususnya oleh golongan berpendapatan pertengahan.
"Saya harap kerajaan akan buat sesuatu mengenai harga rumah yang amat tinggi untuk rakyat biasa," kata seorang individu bernama Teryyck yang menambah, ramai yang tidak mampu memiliki rumah yang memuaskan pada masa ini.
Begitu juga seorang lagi individu bernama Mathew dari Lembah Kelang yang berkata, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme serius dalam mengawal harga hartanah.
Katanya, harga hartanah menjadi tidak terkawal kerana dibeli oleh spekulator dan pembeli asing untuk pelaburan.
Keadaan ini menyebabkan pemaju membina perumahan untuk golongan berkenaan dan bukannya untuk pembeli tempatan, katanya.
"Kita perlukan rumah mampu milik... Tolonglah, tolonglah buat harga dan saiz rumah mampu dimiliki," kata Ammaray93 pula dari Selangor.
Seorang lagi pengguna di laman forum yang dikendalikan Google itu mencadangkan supaya program perumahan untuk golongan miskin dan miskin tegar turut diadakan untuk golongan kelas pertengahan.
"Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu dibuka untuk golongan berpendapatan sederhana. Nyatalah golongan berpendapatan rendah mempunyai rumah tetapi golongan berpendapatan sederhana masih menyewa di bandar besar, (ini) sangat menyedihkan," kata Ir Fird.
Cadangan supaya monopolis penyedia perkhidmatan televisyen satelit Astro dan tambahan potongan cukai juga menjadi permintaan popular di laman berkenaan.
Cadangan Amirul daripaa Johor supaya memecahkan monopoli Astro ke atas lesen tersebut dipersetujui 130 orang yang menanda dengan butang "Like".
Pengguna boleh memberi cadangan kepada perdana menteri di laman tersebut sehingga 29 Julai.

