Mustapa dan Annuar dihalang ambil bahagian di sidang DUN Kelantan
Ketua Pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketereh, Datuk Annuar Musa dihalang daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini, kerana tindakan mereka mempertikaikan pelantikan Speaker pada sidang pertama 5 Mei lalu.
Ketua Pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketereh, Datuk Annuar Musa dihalang daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini, kerana tindakan mereka mempertikaikan pelantikan Speaker pada sidang pertama 5 Mei lalu.
Speaker Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengumumkan keputusan itu ketika sesi jawapan lisan bermula menyebabkan Mustapa dan Annuar silih bangun membantah keras tindakan itu, hingga keadaan menjadi tegang dan kecoh di antara Adun BN dan PAS.
Menurut Wan Abdul Rahim, kedua-dua pemimpin BN itu dikenakan tindakan sedemikian kerana melanggar peraturan Dewan apabila mengkritik dan mempertikaikan pelantikannya hingga berlanjutan ke luar dewan, apabila memberikan kenyataan kepada pemberita.
"Dewan tidak boleh menerima (perbuatan mereka). Oleh itu, sebelum Dewan membuat apa-apa keputusan, saya meminta mereka (Mustapa dan Annuar) menarik balik tuduhan dan memohon maaf dalam tempoh 14 hari bermula hari ini," katanya di persidangan DUN hari ini.
Menurut Bernama , Dewan padat dengan pemerhati dan penyokong kedua-dua parti yang datang sejak awal pagi bagi menyaksikan perjalanan persidangan kali ini.
Dalam persidangan pertama pada 5 Mei lalu, kesemua 21 Adun BN menentang tindakan kerajaan negeri PAS mencalonkan Wan Abdul Rahim sebagai Speaker atas alasan beliau pernah dihukum denda RM1,800 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baru kerana bersalah mengahwini seorang wanita Kemboja di negara itu dan berpoligami tanpa izin pihak berkuasa.
Pemilihan Speaker kemudian ditentukan melalui undi oleh Adun yang berkesudahan Wan Abdul Rahim dipilih dengan 24 undi menyokong dan 21 menentang, iaitu sama dengan jumlah agihan kerusi di antara PAS dan BN di Kelantan.
Mohon maaf
Keputusan itu juga menyaksikan Wan Abdul Rahim memegang jawatan Speaker bagi penggal ketiga berturut-turut sejak Mei 1995, serta menjadi Speaker paling lama dalam sejarah DUN Kelantan.
Mustapa dan Annuar kemudian mengadakan sidang berita bagi mempertikaikan keputusan kerajaan negeri untuk tetap memilih Wan Abdul Rahim, yang menjadi punca Wan Abdul Rahim meminta mereka memohon maaf.
Wan Abdul Rahim, calon PAS yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Krai dalam pilihanraya lalu, berkata beliau telah mengemukakan surat berhubung tindakan ke atas Mustapa dan Annuar Isnin lalu.
Selagi Mustapa dan Annur tidak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya, Wan Abdul Rahim berkata kedua-dua Adun BN itu tidak dibenarkan untuk mengemukakan soalan lisan/bertulis atau soalan tambahan serta dilarang menyertai perbahasan.
Bagaimanapun, Mustapa dan Annuar dibenarkan berada di dalam dewan bagi mengikuti perjalanan persidangan itu di tempat masing-masing.
Pada suatu ketika, Annuar dengan bersuara lantang meminta penjelasan Speaker kerana bertindak sendiri menjatuhkan hukuman itu tanpa memberi peluang kepada mereka memberi penjelasan dan sehubungan itu enggan mengiktiraf arahan itu yang disifatkan tidak adil.
Speaker kemudian mengarahkan Annuar duduk tetapi bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu enggan kerana tidak diberikan peluang membela diri.
Perang mulut
Perang mulut itu menyebabkan Dewan menjadi kecoh hingga keadaan hampir tidak terkawal, menyebabkan Abdul Rahim bertegas mengarahkan semua mereka yang berdiri, supaya duduk bagi membolehkannya bercakap.
"Apabila saya bercakap, YB kena duduk, Ini peraturan Dewan," kata Speaker sambil melihat tajam ke arah Annuar yang enggan beralah.
Abdul Rahim kemudian meminta semua pihak khususnya kedua-dua pemimpin itu memberikan kerjasama dan berkata tindakannya itu diambil setelah mentafsir peraturan dan perintah-perintah tetap Dewan.
Mustapa, juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kemudian bangun untuk memberi jaminan akan bekerjasama dan meminta izin daripada Speaker bagi membaca surat yang dihantarnya (Speaker) itu untuk didengar semua dalam dewan tetapi tidak dibenarkan.
Wan Abdul Rahim berkata perkara itu telah diputuskan dan sehubungan itu meminta mana-mana ahli Dewan yang menghadapi kemusykilan atau masalah, datang ke pejabatnya atau menghubunginya pada bila-bila masa.
Annuar kemudian bangun dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara Dewan diuruskan.
Speaker kemudian mengarahkan supaya sidang itu diteruskan dengan sesi jawapan lisan yang menyaksikan Mustapa dan Annuar hanya bertindak sebagai pemerhati tanpa berpeluang menyertai atau mengemukakan soalan tambahan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.