Ramai ketua penaja Umno bahagian di Kedah hadapi tentangan
Sebahagian besar ketua penaja Umno bahagian di Kedah akan dicabar satu lawan satu dalam pemilihan bahagian mulai bulan depan
Sebahagian besar ketua penaja Umno bahagian di Kedah akan dicabar satu lawan satu dalam pemilihan bahagian mulai bulan depan
Sehingga semalam, tujuh daripada 15 ketua penaja Umno bahagian terpaksa menghadapi tentangan untuk mempertahankan jawatan masing-masing.
Malah, di bahagian Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pun, ada cawangan yang mencalonkan timbalannya Azman Abdul Manaf untuk mencabar beliau bagi jawatan ketua bahagian Kuala Kedah.
Sehingga semalam, Syed Razak mendapat 144 daripada 145 cawangan yang sudah bermesyuarat. Azman yang juga seorang ahli perniagaan, hanya memperolehi satu pencalonan dari Umno cawangan Padang Jambu Dalam.
Beliau memerlukan sekurang-kurangnya pencalonan daripada 30 cawangan untuk layak bertanding tetapi sehingga ini hanya tinggal sembilan cawangan lagi yang belum bermesyuarat.
Walaupun beliau gagal mendapatkan cukup pencalonan tetapi tindakan sebuah cawangan mencalonkan beliau untuk menentang Syed Razak yang juga pengerusi Umno negeri, telah mendapat perhatian umum.
Menurut Bernama , setiausaha kerja Umno bahagian itu Mohamad Zailani Endut Isnin berkata Azman juga gagal mengekalkan jawatan yang disandangnya sekarang kerana hanya memperolehi dua pencalonan sedangkan had kelayakan ialah 20 pencalonan.
Pencalonan
Setakat ini, Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Hashim Jahaya yang ahli Parlimen Kuala Kedah mendahului senarai dalam perebutan jawatan timbalan ketua dengan mendapat 58 pencalonan.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Md Rozai Shafian juga dijangka ditentang oleh bekas penolong pegawai daerah Pendang Azmi Din bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Pendang, selepas penyandangnya Datuk Othman Abdul menarik diri.
Md Rozai yang merupakan ketua penerangan Umno bahagian itu mendapat 86 pencalonan manakala Azmi 65 pencalonan selepas 163 daripada 177 cawangan selesai bermesyuarat.
Ketua Umno bahagian Pokok Sena pula, Datuk Ahmad Lebai Sudin akan dicabar Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Abdul Rahman Ibrahim.
Bagaimanapun, peluang Ahmad dikatakan cerah selepas menerima 109 pencalonan daripada 149 cawangan Umno yang selesai bermesyuarat manakala Abdul Rahman yang juga ahli Parlimen Parlimen Pokok Sena mendapat 40 pencalonan.
Di Padang Terap, bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Affifuddin Omar akan mencabar Datuk Ghazali Ibrahim bagi jawatan ketua bahagian berkenaan, Ghazali mendapat 85 pencalonan manakala mendapat 26 pencalonan.
Satu lagi perkembangan menarik ialah ketua penaja Umno bahagian Kubang Pasu, Tan Sri Osman Arof akan dicabar oleh ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Johari Baharom. Sehingga ini, Osman dan Johari yang juga Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, masing-masing melepas had kelayakanpencalonan.
Layak bertanding
Exco kerajaan negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pula akan ditentang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Mengkudu, Fadzil Hanafi bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Alor Star.
Ahmad Bashah yang merupakan penyandang jawatan itu dan Fadzil, ahli jawatankuasa Umno bahagian, telah melepasi had kelayakan pencalonan.
Umno bahagian Sungai Petani juga bakal menyaksikan perebutan bagi jawatan ketua bahagian yang merupakan pertandingan satu lawan satu di antara penyandangnya Abu Bakar Ahmad dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mahadzir Mohd Khir (
gambar
) yang memperolehi 50 pencalonan.
Mahadzir memperolehi 50 pencalonan manakala Abu Bakar mendapat 30 pencalonan.
Di Baling, ketua Umno Bahagian Baling, Ismail Abu Bakar yang memperolehi 124 pencalonan akan berdepan dengan ketua penerangan bahagian berkenaan, Salleh Yaacob yang mendapat 55 pencalonan.
Selain Syed Razak yang mengekalkan jawatan ketua Umno bahagian Kuala Kedah tanpa bertanding, tujuh lagi ketua penaja Umno bahagian turut mengekalkan jawatan masing-masing. Mereka ialah Datuk Abdul Rahman Ariffin (Jerlun), Datuk Abu Bakar Taib (Langkawi) dan Datuk Badruddin Amiruldin (Jerai).
Empat lagi ialah Tan Sri Abdul Hamid Othman (Sik), Menteri Penerangan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir (Kulim/Bandar Baharu), Datuk Mohd Hadzir Ismail (Padang Serai) dan Datuk Arzmi Hamid (Merbok).
Puteri Umno
Sementara itu, enam ketua Puteri Umno bahagian di Kedah Pokok Sena, Kuala Kedah, Alor Star, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Baling dijangka menghadapi pertandingan satu lawan satu.
Penolong Setiausaha Puteri Umno Kedah, Anasika Zainal berkata dalam pemilihan lalu, semua ketua Puteri Umno bahagian di Kedah, kecuali di Langkawi, menang tanpa bertanding.
Di Pokok Sena, ketua Puteri Rosmawati Shariff dijangka dicabar naib ketua Azifah Abdul Rahman manakala di Kuala Kedah, ketuanya Zuraini Kamal yang juga naib ketua Puteri Umno Kedah, akan dicabar Naib Ketua Mashitah Din.
Ketua Puteri Umno bahagian Kubang Pasu Atiah Yaakob diramal berdepan dengan bekas ahli jawatankuasa Puteri Umno bahagian itu, Anis Abdullah manakala di Alor Star, ketua puterinya Shamsilah Siru akan dicabar naib ketua Sharifah Adawiyah Syed Ismail.
Ketua Puteri Umno bahagian Sungai Petani Shahanim Mohd Yusof pula akan ditentang naib ketua Junaimaslinda Othman manakala di Baling, ketua puterinya Suriati Che Mid dijangka dicabar naib ketua Sarona Abdul.
Anasika berkata,, Nordini Mohamad Nor menang tanpa bertanding sebagai ketua Puteri bahagian Merbok, menggantikan penyandang Kalsom Hashim yang melepasi had usia 35 tahun.
Ketua Puteri Umno Kedah, Suraya Yaacob yang turut menawarkan diri bertanding Ketua Puteri Umno pusat, mengekalkan jawatannya di bahagian Pendang tanpa bertanding.
Ketua-ketua Puteri Umno bahagian yang bakal menyandang jawatan itu sepenggal lagi tanpa ditandingi ialah Afiza Ahmad (Jerlun), Hasfizatulnisah Md Isa (Jerai), Dermawati Othman (Padang Serai), Norsabrina Md Noor (Kulim/Bandar Baharu), Kama Noriah Ibrahim (Padang Terap), Hisham Suhaily Othman (Langkawi) dan Maizatul Akmam Othman (Sik).
Anasika berkata persidangan Puteri Umno bahagian akan bermula 8 Julai ini, didahului bahagian-bahagian Merbok, Baling dan Padang Terap.

