Kes Sosilawati: Dua hakim mahkamah rayuan tarik diri
Dua daripada tiga anggota panel Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar permohonan empat orang yang dituduh membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, agar perbicaraan yang mereka hadapi ditangguh sementara menunggu keputusan permohonan mereka untuk memanggil tiga timbalan pendakwa raya sebagai saksi, diketahui.
Hakim Datuk Ramly Ali, yang mempengerusikan panel itu, dan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menarik diri selepas peguam bela utama Manjeet Singh Dhillion memohon mereka berbuat demikian.
Manjeet berkata Hakim Ramly dan Hakim Mohamed Apandi sebelum ini mendengar permohonan rayuan oleh pekerja ladang U. Suresh dan K. Sarawanan, yang sedang menjalani hukuman 20 tahun penjara di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan menghapuskan bukti berkaitan pembunuhan itu.
Pihak pendakwaan memohon memanggil Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berkenaan sebagai saksi kerana mereka terlibat dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Telok Datok di mana Suresh dan Sarawanan menghadapi tuduhan dan tindakan mereka mengemukakan dokumen untuk menimbulkan keraguan terhadap keterangan Suresh dan Sarawanan.
Bagaimanapun, pendengaran permohonan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah yang dikemukakan tertuduh N. Pathmanabhan, seorang bekas peguam dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan and R.Kathavarayan tidak dapat diteruskan hari ini.
Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk mendengar permohonan mereka.
Hakim Ramly berkata: "Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, kami rasa kami perlu menarik diri. Ini bukan isu berkaitan berat sebelah.
"Sekiranya berasa tidak selesa, maka kita kena tarik diri. Keadilan perlu dilihat ditegakkan," kata Hakim Mohamed Apandi.
Hakim Datuk Zaharah, seorang lagi hakim yang menganggotai panel itu, pula berkata kesemua mereka (Ramly, Mohamed Apandi dan Zaharah) ditarik keluar daripada menganggotai panel Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonan penangguhan itu.
Terdahulu, Manjeet berkata Hakim Ramly dan Hakim Mohamed Apandi terlibat dalam perkara yang bertindih dengan isu yang terkandung dalam rayuan yang dikemukakan.
Bagaimanapun, dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, yang bertindak bagi pihak pendakwaan, berkata dua hakim berkenaan tidak perlu menarik diri kerana perkara yang mereka hakimi adalah berkaitan penangguhan pelaksanaan perintah, bukan rayuan utama.
Pada 23 Julai tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keempat-empat tertuduh itu untuk memanggil TPR Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani supaya hadir sebagai saksi dalam cubaan mengenepikan dua bahan bukti dalam perbicaraan kes bunuhvberkenaan.
Mereka mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
Sementara itu, keempat-empat tertuduh berkenaan juga memohon Mahkamah Rayuan menangguhkan perbicaraan kes mereka sementara menunggu hasil rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka memanggil tiga TPR itu selepas permohonan mereka mendapatkan penangguhan ditolak Mahkamah Tinggi.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, diperintah membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka dituduh melakukan pembunuhan itu di Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
- Bernama

