Pusat beli-belah disaran guna khidmat polis bantuan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop menyarankan agar semua pusat membeli-belah menggunakan khidmat polis bantuan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di tempat perniagaan mereka.
Beliau juga berkata, ini kerana polis bantuan mempunyai kuasa di bawah Akta untuk menahan penjenayah.
"Kita lihat, gedung membeli-belah komersial hari ini telah wujud unit keselamatan. Tetapi di bawah taraf polis bantuan tidak ramai.
"Saya rasakan yang lain-lain (pusat membeli-belah) perlu memohon polis bantuan dan dapat melakukan latihan dengan lebih teratur.
"Polis bantuan ini di bawah Akta Polis dan mereka ada kuasa yang diperuntukan di bawah akta itu," katanya dalam sidang media selepas melakukan meninjau pusat membeli belah Mid Valley tengahari tadi.
Abu Seman ditemani Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.
Selain itu, Abu Seman Yusop berkata lagi, terdapat pihak tertentu yang cuba memperbesarkan isu jenayah di negara ini bagi memberi persepsi bahawa keadaan tidak terkawal.
"Ada pihak tertentu yang cuba besarkan dan tunjuk persepsi. Keadaan (jenayah) kita terkawal. Saya merasakan, masalah keselamatan dan ketenteraman awam adalah tanggungjawab bersama.
"Jangan cuba ambil kepentingan nak mewar-warkan dan mewujudkan satu persepsi dengan apa yang kita laksanakan ini, ada kesan dan dan impak yang tidak baik," kata ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka itu lagi.
Dalam pada itu, Abu Seman juga berkata, hanya sembilan kes sahaja yang melibatkan insiden di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, menurut Abu Seman, sebahagian daripada kes itu telah pun berjaya diselesaikan.
''Kita serius untuk kurangkan kadar jenayah. Penting jaga keselamatan dan ketenteraman awam.
''Terdapat sembilan kes sahaja tahun ini di Kuala Lumpur dan peratusannya juga sangat rendah. Kes itu melibatkan kes samun, pecah kereta di pusat membeli belah. Ada antara kes itu telah berjaya diselesaikan," katanya lagi.

