Akibat terganggu dengan bunyi mercun, seorang penjawat awam telah mengugut jirannya dengan senapang paintball di Kampung Raja di sini tengah hari semalam.

Penjawat awam berumur 44 itu bagaimanapun ditahan pada jam 11.25 malam tadi.

    

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata penjawat itu merasa marah kerana jirannya yang berumur 35 tahun bermain mercun sehingga menggangu anak kecilnya yang sedang tidur.

    

"Suspek telah bertindak pergi ke rumah mangsa yang juga tinggal di kawasan itu sekitar 12.30 tengah hari semalam sebelum mengugut dan cuba melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang paintball," katanya kepada Bernama.

    

Jirannya yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu lalu bertindak membuat laporan polis.

    

"Hasil penahanan suspek tersebut, polis turut bertindak merampas senjata paintball kepunyaan penjawat awam itu di rumahnya," katanya.

    

Kamaruddin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dan suspek kini ditahan atas kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah serta tidak memiliki lesen untuk menyimpan senapang permainan itu.

    

Beliau berkata lesen adalah diperlukan bagi memiliki senapang paintball sama seperti lesen senjata api yang lain.

- Bernama