Kerajaan Terengganu membuat persiapan awal dengan menyediakan sebuah tapak bagi membangunkan pusat pentadbiran daerah Kuala Nerus yang bakal merupakan daerah baharu di negeri itu.

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerja-kerja awal kini bermula bagi menempatkan jabatan-jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta yang akan bergabung untuk membangunkan daerah Kuala Nerus.

"Saya melihat kerajaan telah membuat persediaan awal untuk pembangunan di situ. Satu kawasan seluas 200 hektar di kawasan perindustrian Gong Badak telah dikenal pasti dan kerja-kerja pembangunan di situ akan dimulakan dalam masa terdekat ini," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu, hari ini.

Kuala Nerus bakal menjadi daerah kelapan negeri ini. Daerah yang lain ialah  Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Mohd Nasir berkata, kerajaan telah memberi peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi kerja-kerja infrastruktur kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Mohd Nasir menyeru semua golongan di kawasan berkenaan supaya mengambil tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

"Masyarakat di situ kena ambil tahu kerana terdapat banyak peluang akan diwujudkan terutama dalam sektor pekerjaan dan perniagaan.

"Kalau kita tidak ambil peluang yang ada, ia akan direbut oleh orang lain," katanya.

- Bernama