Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha habis-habisan dalam membanteras jenayah untuk meningkatkan keselamatan

orang ramai serta mengekalkan undang-undang dan ketenteraman di negara ini, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata berbeza dengan tanggapan kebanyakan orang, tugas mencegah jenayah sebenarnya bukan melibatkan JSJ semata-mata, tetapi seluruh pasukan polis "dan oleh itu orang ramai perlu mempunyai keyakinan terhadap polis".

    

"Keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami. Malah, di Sabah, anggota Pasukan Gerakan Am juga turun padang untuk membantu memerangi jenayah, khususnya di bandar utama.

    

"Saya percaya, melalui usaha bersepadu, termasuk kerjasama daripada orang ramai, kami akan dapat mengurangkan kadar jenayah dan di Sabah, kadar jenayah terus menurun... ini sesuatu yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai penyiasatan dan pendakwaan berkaitan undang-undang baru di Kota Kinabalu hari ini.

    

Mohd Bakri berkata polis juga berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan standard penyiasatan dan proses pendakwaaannya bagi meningkatkan imej pasukan itu.

    

Sejajar dengan itu, kata beliau, sebuah sekolah JSJ ditubuhkan di Kuala Lumpur untuk memberi latihan khusus kepada anggota polis dalam aspek pengurusan penyiasatan jenayah.

    

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan wawasan kerajaan untuk membanteras jenayah di seluruh negara.

    

Kata Mohd Bakri penubuhan sekolah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme anggota polis, yang sebelum ini menjadi pilihan terakhir bagi pencari kerja, supaya menjadi pilihan pertama pada masa akan datang.

    

"Kami sudah menambah pengambilan lulusan diploma dan ijazah untuk menyertai pasukan ini. Malah, kini kami mempunyai lulusan PhD dalam pasukan kami dan ini sudah tentu akan meningkatkan kualiti penyiasatan.

    

"Tapi, kelulusan saja bukan suatu jaminan... sebab itulah kami latih mereka tentang pengurusan penyiasatan dan sebab itulah juga seminar ini diadakan di Sabah hari ini," katanya.

    

- Bernama