Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggunakan kemudahan YouTube dan aplikasi persidangan video Google Hangout bagi mendekati warga maya yang rata-rata golongan muda.

Dilihat cuba menyaingi populariti Datuk Seri Najib Razak di Internet, Anwar berkata, "Borak Bersama Anwar" pada 17 Ogos itu bertujuan memberi maklum balas langsung kepada rakyat.

"Anda ada soalan boleh bertanya terus," katanya yang mengaku teruja untuk melibatkan rakyat Malaysia di Internet sebagai "pencetus kebebasan bersuara".

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar berkata, pasukannya dan pekerja sukarelawan akan bekerja keras melayan setiap soalan yang akan diajukan padanya.

Soalan untuk Anwar boleh dikemukakan melalui laman Facebok peminatnya di www.facebook.com/anwaribrahim.keadilan , Google Plus, soalan video di YouTube dan melalui hashtag #BorakAnwar di Twitter.

"Sesi sejam akan termasuk mereka yang dijemput untuk menyertai sebagai panelis video secara langsung, seperti yang dinyatakan sebelum ini, semasa sesi tersebut.

"Ahli panel akan dipilih dari mereka yang telah menghantar video mereka. Jadilah salah seorang daripada mereka," katanya.

Sambil berkata berbangga menjadi pemimpin politik tempatan pertama menggunakan Google Hangout, Anwar menyeru semua ahli politik menggunakan ruang bersuara oleh gergasi Internet Google itu.