Kemahiran kesan ikan makin pupus
Kemahiran nelayan Terengganu kesan lubuk ikan dengan hanya menyelam kini semakin pupus dengan wujudnya pelbagai alat canggih yang dihasilkan pada masa kini.
Bagi Harun Mohamad, 65, dari Kampung Pengkalan Gelap di Setiu yang merupakan antara nelayan negeri itu yang masih mempunyai kemahiran mengesan lokasi lubuk ikan dengan hanya menyelam berkata pada tahun 1930-an hingga 1960-an, ramai nelayan di negeri itu memiliki kemahiran tersebut untuk mendapat tangkapan yang banyak setiap kali turun ke laut.
Namun perkembangan sains teknologi yang semakin canggih pada masa ini menyebabkan ramai nelayan lebih gemar menggunakan alat pengesan sonar untuk mencari lubuk ikan, terutama bagi nelayan kategori laut dalam, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata alat pengesan sonar telah terbukti secara saintifik untuk mengeluarkan bunyi tertentu bagi mengukur kedalaman laut dan memberi maklumat bentuk muka bumi di dalam dasar laut itu.
Selain itu, ramai daripada golongan nelayan Terengganu yang mempunyai kepakaran mengesan lubuk ikan dengan hanya menyelam telah meninggal dunia, katanya.
Harun yang masih ke laut mencari rezeki bagi keluarganya telah melatih anaknya, Faizol Amar, 30, agar mewarisi kebolehannya.
Beliau yang mula belajar menyelam sejak berusia empat tahun, akan terjun dari sampannya dan menyelam beberapa meter dari permukaan laut, untuk mendengar bunyi-bunyian dalam air di kawasan itu.
"Jika kawasan itu mempunyai lubuk ikan, pakcik akan mengetahuinya berdasarkan gelombang bunyi yang dihasilkan kelompok ikan berkenaan. Jika kawasan itu tak ada ikan, pakcik akan beralih ke tempat lain," katanya.
"Pak cik ni sudah biasa dengar bunyi-bunyian dari dasar laut sejak kecil, jadi memang boleh tahu dan kenal pasti di mana lokasi lubuk ikan apabila menyelam. Sesiapa pun boleh memiliki kemahiran ini, tapi kena belajar dari kecil," katanya.
Beliau berkata kadang-kadang beliau ke laut dengan tiga atau empat bot bersama 10 awak-awak untuk menangkap ikan.
"Ikan yang biasa pakcik peroleh ialah ikan selama bongkok, ikan kekek, ikan jarang gigi, ikan senangin dan ikan selayu yang mana pak cik jemur untuk dijadikan ikan kering," katanya.
Bagi penonton Internet Protocol Television (IPTV), Faizol Anuar Ngah, 30, beliau melahirkan rasa terujanya apabila melihat kemahiran Harun menyelam untuk mengesan lubuk ikan yang dijadikan sebuah dokumentari dalam satu segmen di televisyen berkenaan.
Katanya penyelidik Barat sangat mengagumi kebolehan nelayan itu yang dikatakan hanya dimiliki oleh nelayan-nelayan di negara ini dan bilangannya semakin sedikit akibat faktor penuaan dan kematian.
"Tidak ramai yang tahu mengenai perkara unik ini dan seperti biasa, penyelidik dari negara luar akan terus mendahului untuk menjadikannya sebagai sebuah dokumentari yang boleh ditonton ramai.
"Saya berharap nelayan-nelayan muda dapat mempelajari kemahiran ini dari pak cik Harun itu kerana ia adalah kebolehan yang sangat istimewa," katanya.
- Bernama

