Pertubuhan Belia Pemikir Muda (PPM) mengecam tindakan paderi gay warga Malaysia, Ngeo Boon Lin mengadakan majlis resepsi perkahwinan sejenisnya di Kuala Lumpur minggu lalu.

Presidennya Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, perbuatan itu jika dibiarkan akan memberi kesan yang lebih buruk kepada negara ini terutama moral rakyatnya.

Bercakap dalam sidang media sempena program Konvoi Ramadan Merdeka Janji Ditepati di sini hari ini, beliau berkata, perbuatan itu jelas melanggar norma kehidupan rakyat Malaysia.

Baru-baru ini negara digemparkan apabila Boon Lin yang kini menetap di Amerika Syarikat dan berkahwin dengan pasangan sejenisnya, Phineas Newborn 111 mengadakan majlis resepsi itu.

Mohd Rafiq berharap kerajaan dapat menggubal undang-undang yang lebih tegas jika undang-undang yang sedia ada tidak berupaya menangani isu itu.

Beliau berkata, sebelum ini pelbagai pihak telah mengecam kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini yang mahu mengadakan kegiatan mereka secara terbuka.

- Bernama