ULASAN Dua program mengisi penutup 'Ramadan Kehadiranmu Dirindui SAMM JOHOR 2012'. Setelah tiga minggu SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia) Johor menyantuni pelbagai segmentasi masyarakat terpinggir, akhirnya program tersebut melabuhkan tirainya.

program samm johor 05 Program itu ditutup dengan Konvoi Anak Muda Santuni Fakir dan Iftar Ramadan Bersama Selebriti, Hairie Othman berakhir dengan jayanya.

Daripada segmentasi Gelandangan Kota yang terpinggir dan dilupakan, fakir miskin yang terpaksa memerah keringat dan mengalir air mata mencari sesuap nasi demi memenuhi tuntutan hidup yang semakin mahal dan mencabar hinggalah aktiviti bersama selebriti telah pun kami jalankan sepanjang Ramadan ini.

Syukur ke hadrat Illahi kerana telah membuka jalan dan menggerakkan hati para penderma yang senantiasa bermurah hati membantu SAMM Johor dalam mengendalikan aktiviti tersebut. Kami ingin merakam penghargaan kepada semua.

program samm johor 02 Program kemasyarakatan seperti ini sememangnya telah menjadi satu program tetap SAMM Johor sejak daripada Ramadan sebelumnya.

SAMM Johor berhasrat untuk terus menyantuni golongan terpinggir, OKU, fakir miskin dan remaja yang tersisih ini sebagai satu program bulanan yang tetap.

Sehubungan itu, SAMM Johor terus mengharapkan sumbangan seluruh rakyat yang prihatin dan bermurah hati untuk memastikan impian ini menjadi kenyataan.

Kami turut berharap lebih banyak lagi organisasi kebajikan dan NGO yang akan tampil menjalin kerjasama bagi memastikan program kemasyarakatan SAMM Johor dapat diteruskan.

SAMM Johor juga seperti tahun lalu terus menjalin kerjasama dengan para selebriti dalam program sebegini. Tahun lepas, kami bersama Sham Kamikaze.

program samm johor 04 Tahun ini, kami bersama Hairie Othman menyantuni pelbagai segmentasi masyarakat terpinggir dengan tujuan menyelami keperitan mereka dan memberikan secebis kegembiraan buat mereka di bulan yang mulia, Ramadhan Al Mubarak ini.

Sesungguhnya, program kemasyarakatan ini telah membuka mata hati kami, anak-anak muda Malaysia, akan kesengsaraan, keperitan dan kejerihan seorang ayah dan ibu membesarkan anak-anak tatkala wang ringgit menjadi satu halangan terbesar yang menghimpitkan mereka.

Kesayuan menggamit sanubari kami apabila melihat di sebalik kemegahan Bangunan CIQ JB Sentral, tersembunyi insan-insan terpinggir yang terpaksa tidur beralaskan kotak dan berselimutkan embun malam.

NONE Keinsafan terus menyentap diri apabila melihat derita lima beradik yang menghidapi penyakit down sindrom tatkala si ayah tiba-tiba diserang strok sewaktu Ramadan menginjak masuk dan meninggal dunia setelah dua minggu terlantar sakit. Al-Fatihah untuk allahyarham Mat Diah Bin Othman. Semoga Allah merahmati roh allahyarham.

Apalah nasib yang menimpa lima beradik tersebut akan terus mendapat perhatian kami, SAMM Johor mengambil langkah proaktif bagi memastikan nasib mereka terbela dengan mengetuk pintu badan-badan kebajikan secepat yang mungkin.

Di sebalik kehebatan Wilayah Pembangunan Iskandar, masih juga terselit keluarga yang terhimpit dengan keperitan. Tinggal menumpang di tanah orang, di dalam pondok bertemankan generator dan pelita minyak serta perigi dan tadahan air hujan.

program samm johor 01 Inikah model negara maju yang kita harapkan? Terus meminggirkan rakyat sendiri di sebalik kemegahan bangunan pencakar langit.

Bagi SAMM Johor, pembangunan itu adalah baik untuk semua dan kami tidak sesekali menolak pembangunan yang terancang. Namun apabila pembangunan itu tidak seiring dengan taraf kehidupan ekonomi setempat, maka akan lahirlah generasi yang merempat di bumi sendiri tatkala regim terus menyebelahi konglomerat mengumpul kekayaan tanpa kepedulian terhadap rakyat.

Kami anak muda SAMM Johor akan meneruskan program kemasyarakatan dan Insya-Allah banyak program yang telah dirancang sempena kehadiran Syawal, antaranya program bersama warga tua yang dipinggirkan anak-anak sendiri, untuk memberikan sedikit keceriaan Syawal kepada mereka dalam meniti penghujung usia.


AHMAD ANWAR ASYRAF adalah penyelaras olidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM JOHOR). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.