Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin percaya tindakan segelintir pemimpin parti komponen BN bertukar arah kepada pihak pembangkang tidak menjejaskan persediaan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Rosnah yang juga timbalan menteri kesihatan berkata rakyat Sabah semestinya bijak menilai ketelusan dan keprihatinan kerajaan BN dalam membela nasib rakyat.

"Kita yakin dengan perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan negeri yang ditunjangi Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan akan kita perjuangkan hingga detik akhir dengan memenangi kerusi dan kawasan yang dimenangi pembangkang (pada pilihan raya lepas)," katanya di Kota Bharu hari ini.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan pemimpin dari kalangan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Umno meninggalkan BN, pada majlis Bubur Lambuk sempena RTM Jelajah Merdeka Raya di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Kota Bharu.

    

Rosnah berkata pemimpin yang meninggalkan BN itu mempunyai agenda tersendiri yang tidak akan memberi kesan kepada usaha bagi memastikan kerajaan BN kekal menjadi pilihan rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

- Bernama