Gesaan gantung lantik Burma pengerusi Asean
Satu majlis gerakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Asean, yang menggabungkan semua organisasi Islam di rantau itu, akan ditubuh sebagai inisiatif bagi menangani isu penduduk Rohingya.
Sehubungan itu, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dilantik menyediakan rangka kerja ke arah pembentukan mekanisme ini.
Pelantikan itu menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat gerakan dalam menangani masalah Rohingya, dan pada masa sama, mencadangkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi wakil kehormat misi kemanusiaan NGO dunia Islam.
Pengerusi IKIAM Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perkara itu sebahagian daripada resolusi yang dicapai pada Persidangan Gerakan NGO Islam Asean yang dianjurkan bagi membela umat Islam Rohingya di Burma, yang dilanda penghapusan etnik.
"Persidangan menegaskan bahawa penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta-merta, dan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa.
"Kerajaan Myanmar perlu bertanggungjawab untuk memastikan hak kemanusian dan kewarganegaraan kaum Rohingya perlu hormati kerana kaum itu adalah kaum pribumi di wilayah Rakhine (yang dulunya Arakan)," katanya kepada pemberita semalam.
Zahidi berkata persidangan itu turut menggesa Asean bertindak terhadap Burma kerana gagal mematuhi serta menghormati hak kemanusiaan seperti terkandung dalam protokol Asean Human Rights Body, yang dipersetujui negara itu pada 15 Disember 2008.
"Kami juga mahu Asean menggantung hasrat melantik Burma menjadi pengerusi pada 2014 sehingga isu Rohingya ini ditangani.
"Kami juga menggesa badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan Pertubuhan Persidangan Islam menganjurkan persidangan khas mengenai isu Rohingya secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata selain mewujudkan Yayasan Kemanusiaan Islam mengumpul sumber kewangan untuk membiayai misi kemanusiaan, persidangan itu sepakat menubuhkan Pusat Penyelidikan Rohingya di setiap negara Islam agar semua umat Islam memahami isu tersebut.
"Persidangan kali ini setuju untuk mewujudkan 'International Islamic Peace Corps' dalam usaha menggerakkan kerjasama erat di kalangan NGO Islam seluruh dunia dalam mengumpul tenaga sukarelawan untuk menjayakan misi kemanusiaan di Myanmar," katanya.
Sebanyak 62 NGO dari seluruh Asean menghadiri persidangan semalam bagi membincangkan isu 800,000 penduduk Rohingya di Burma, yang dianggap sebagai orang luar atau pendatang tanpa izin.
Keganasan kaum yang melanda Rakhine sejak lebih dua bulan lepas, menyebabkan kira-kira 80 orang terkorban.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pihaknya akan menghantar misi bantuan kemanusiaan dikenali 'Humanitarian Flotilla' yang disertai 200 sukarelawan bulan depan.
Beliau berkata misi itu akan membawa 300 tan barangan seperti makanan, perubatan dan keperluan harian melalui jalan air.
"Misi kita kali ini dijangka selama 10 hari, bagaimanapun, kita bergantung kepada pihak berkuasa negara itu untuk membenarkan bantuan kemanusiaan disalur kepada penduduk Rohingya.
"Setakat ini, difahamkan Burma telah memberi amaran kepada misi bantuan kemanusiaan," katanya.
Sementara, dalam satu perkembangan berkaitan, Global Peace Mission (GPM) menggerakkan misi kedua penghantaran bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya di Arakan, Burma semalam.
Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata delegasi diketuai pengerusi GPM Ahmad Azam Abdul Rahman itu akan mengagih sejumlah RM250,000 hasil Kempen Tabung Iftar Ramadan, yang digerakkan GPM dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sejak 19 Julai lepas.
"Misi yang turut disertai Karim Erdogan, yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan di Jerman, dijangka menyalurkan sumbangan tersebut kepada masyarakat Rohingya yang dilanda krisis kemanusiaan di Sitway, Arakan.
"Sumbangan tersebut akan disalurkan menerusi jaringan kerjasama dengan beberapa pertubuhan kebajikan yang diiktiraf kerajaan Myanmar," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kerjasama itu, yang dirintis hasil misi pertama GPM ke Burma pada 11 hingga 13 Julai lepas, akan membantu masyarakat Rohingya menjalani ibadah puasa selain memenuhi keperluan asas mereka.
Mohamad Raimi juga berkata misi kali ini bertujuan mengenal pasti beberapa keperluan pasca-krisis di Arakan dalam rangka menyalurkan bantuan jangka panjang kepada masyarakat Rohingya.
"Perancangan tersebut meliputi program pembinaan telaga air dan infrastruktur, bekalan makanan asas, perubatan serta pembangunan infrastruktur asas seperti tempat tinggal," katanya.
Beliau berkata selain itu, GPM menggerakkan program bantuan dan pembangunan masyarakat Rohingya di Malaysia, yang meliputi penubuhan Pusat Pendidikan Rohingya (REC) bagi anak etnik pelarian melalui sumbangan Ramadan dan Aidilfitri.
GPM mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada masyarakat yang prihatin bagi menampung keperluan projek itu, dan ia boleh disalur menerusi akaun Bank Islam (14-023-01-02922-4) atau Maybank (5642-2161-1602). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-6188 3239.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ekmeleddin Ihsanoglu mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua umat Islam sempena Aidilfitri ini, sambil mengingatkan mereka agar menumpukan usaha membantu masyarakat Rohingya di Myanmar mengatasi masalah mereka.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata masyarakat Islam Rohingya yang merupakan kaum minoriti di Myanmar, masih menderita akibat pencabulan secara terang-terangan yang mengancam kewujudan mereka di negara itu.
Beliau juga menggesa umat Islam terus menyokong rakyat Palestin untuk memastikan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan menjadikan Al Quds Al Sharif sebagai ibu negara.
Beliau juga menyatakan bahawa walaupun bulan Ramadan adalah bulan keamanan, ketenangan dan selamat, namun perkara-perkara itu tidak dirasai di sesetengah negara Islam tertentu.
"Walaupun sesetengah daripada kita mendapati bulan Ramadan masa yang merasa aman dan tenang, ia adalah menyedihkan bagi saya untuk menyatakan bahawa di beberapa negara Islam telah dinafikan ketenangan dan keamanan itu.
"Manakala di beberapa bahagian lain pula sedang menghadapi kesengsaraan dan syarat keras terutama di Syria yang mana keperluan asas dinafikan, kurangnya keselamatan serta gangguan yang semakin meningkat, pencabulan hak asasi manusia serta pembunuhan yang berlaku pada setiap hari," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap nama dan logo baru organisasi itu akan membawa satu era baharu kemakmuran dan memperkasakan dunia Islam serta mencerminkan keadilan, kesaksamaan, keamanan dan toleransi.
"Ini adalah ciri ajaran agama Islam sebenar yang bertolak ansur, menghormati kesucian hidup dan merangkumi nilai-nilai maruah manusia, menghormati hak asasi manusia, mengatasi kesulitan dan pertikaian serta penyelesaian melalui dialog dan cara-cara damai dalam konteks persaudaraan dan pertimbangan," katanya.
OIC adalah organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan keanggotaan 57 negara dari empat benua dengan penduduk kolektif lebih 1.5 bilion orang.
Organisasi itu telah menukar namanya daripada Pertubuhan Persidangan Islam kepada Pertubuhan Kerjasama Islam pada 28 Jun tahun lepas pada Sesi ke-38 Majlis Menteri-menteri Luar OIC di Astana, Kazakhstan.
Sesi itu meluluskan resolusi menukar nama dan logo organisasi itu untuk meningkatkan keberkesanannya sebagai satu sistem antarabangsa yang berurusan dengan isu-isu pembangunan politik, ekonomi, budaya dan sosial.
- Bernama

