Suspek pecah rumah sekitar Wangsa Maju ditahan
Polis menahan dua suspek kes pecah rumah dan samun sekitar ibu negara selepas cuba memecah masuk sebuah kediaman di Apartmen Seksyen 1, Wangsa Maju dekat Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian 4.45 petang itu, seorang suspek dilihat cuba memecah masuk sebuah rumah tidak berpenghuni, sebelum dilihat orang awam yang segera melaporkannya kepada polis.
Tindakan pantas polis berjaya memberkas seorang suspek berusia 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai rakan jenayah suspek pertama.
"Kita berjaya berkas suspek kedua yang berusia 29 tahun pada pukul 9 malam selepas kita lakukan siasatan ke atas suspek pertama," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata polis turut merampas peralatan seperti pisau lipat, kerambit, pemutar skru dan cota boleh laras, yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah.
Katanya, siasatan polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dengan tiga kes pecah rumah dan masing-masing satu kes dadah, samun, rogol serta ragut.
Zakaria berkata dengan penangkapan itu, polis percaya telah menyelesaikan lima kes pecah rumah, dua ragut dan dua samun sekitar Wangsa Maju sejak bulan lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh hingga 14 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
- Bernama

