George Kent beri jaminan bank RM50.875j pada Prasarana
George Kent (Malaysia) Bhd memberikan jaminan bank sebanyak RM50.875 juta kepada Syarikat Prasarana Negara Bhd sebagai bon prestasi untuk melaksanakan kontrak Transit Rel Aliran Ringan (LRT) Ampang.
Dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Eksekutif George Kent Ir Dr Cheong Thiam Fook berkata pembayaran berkenaan jelas menolak dakwaan tidak berasas bahawa syarikat itu kekurangan kekuatan kewangan untuk melaksanakan projek infrastruktur negara itu selama 44 bulan.
"Kami mempunyai pembiayaan yang diperlukan untuk menyiapkan kontrak, di mana kerja-kerja awal telah pun dimulakan," katanya.
Kontrak LRT Ampang melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, menguji dan melaksanakan sistem isyarat, komunikasi, kerja trek dan rel ketiga, bekalan elektrik sistem rel dan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan penyambungan 17.7 kilometer, menghubungkan stesen Sri Petaling ke Putra Heights.
- Bernama

