Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

dikemaskini Dalam kemeriahan umat Islam menyambut hari raya, Noorliza Mat Isa, isteri kepada Hoslan Hussin terpaksa melupakan hasratnya untuk melawat suaminya pada hari raya ketiga esok - tarikh yang ditetapkan pihak penjara untuk membuat lawatan.

NONENoorliza mendakwa Hoslan dikurung selama 14 hari bermula 14 Ogos lalu kerana didakwa menghasut tiga banduan lain untuk memukul seorang ustaz di dalam penjara.

Selain itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Noorliza berkata, beliau ke penjara Kajang pada 16 Ogos bersama adik iparnya selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Akak tak pasti (Hoslan dipukul). Akak tak sedap hati, akak pergi ke penjara. Tapi pegawai penjara beritahu dia (Hoslan) dikurung di bilik berasingan. Bila akak nak pergi tengok betul ke sama ada dia dipukul, mereka tak benarkan," kata Noorliza, 43.

"NONESelepas akak kira, 14 hari dia dikurung, maknanya akak tak boleh jumpa semasa hari rayalah. Pegawai tu kata lagi, kalau nak jumpa kena buat rayuan. Tapi kebanyakan pejabatkan tutup sebab raya, macam mana nak buat rayuan," katanya.

Selepas tidak dibenarkan berjumpa Hoslan, Noorliza bersama adik iparnya membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, Noorliza mendakwa, pegawai polis yang menerima laporan itu berkata, mereka tidak boleh membuat apa-apa tindakan kerana kejadian itu merupakan masalah dalaman penjara. 

"Akak dengan anak-anak ingat nak melawatnya di penjara esok. Tapi dah jadi macam ini, esok jugalah kami balik kampung naik keretapi.

NONE"Memang rasa terkilan. Anak-anak dah balik dari asrama. Mereka balik memang nak jumpa imam. Tapi dah jadi macam ini, kita tak boleh lawan undang-undang," kata Noorliza sambil menahan sebak.

Tarikh lawatan seterusnya Noorliza untuk berjumpa Hoslan adalah pada 2 September akan datang.

Hoslan sebelum ini mengejutkan pelbagai pihak apabila melempar selipar ke arah panel hakim - tindakan yang menyebabkan Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atasnya.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menjatuhkan hukuman dilaporkan berkata, tempoh itu adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

NONEHasil perkahwinan Hoslan dan Noorliza, mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, masing-masing berumur 16, 15, 14, 12, 11, 8 dan 6 tahun.

Hoslan berasal daripada Slim River dan dibesarkan di Kampung Pandan manakala Noorliza dari Sungkai, Perak.

Ketika ditemui Malaysiakini minggu lepas, di Taska tempat dia bekerja, Noorliza, 43, berkata beliau dan anak-anak tidak pulang beraya ke kampung pada Aidilfitri kali ini kerana ingin melawat suaminya pada hari raya ketiga.

Noorliza yang berasal daripada Sungkai, Perak berkata, beliau akan beraya di Kuala Lumpur sehingga hari raya ketiga.

Pada hari raya keempat pula Noorliza berkata, beliau bersama anak-anak akan pulang ke kampungnya dan kemungkinan menaiki keretapi.

Menurutnya, ini adalah pertama mereka beraya tanpa imam Hoslan.

"Ini memang kali pertama kami beraya tanpa Imam. Anak-anak semua Alhamdulillah tak ada kata apa-apa. Mereka faham," tambahnya.   

Bercerita mengenai kelengkapan rumah dan sumbangan yang diterima, Noorliza bersyukur kerana ada pihak yang menghulurkan bantuan kepadanya dari segi kewangan dan barangan dapur bagi meringankan bebannya.

"Alhamdulillah sebab ada juga sumbangan saya dapat dari Muslimat PAS, dari Baitulmal. Ada juga yang beri beras dan barang-barang dapur. Jiran-jiran pun faham apa yang berlaku. Mereka kenal sangat imam sebab imam peramah dengan semua orang. Jadi mereka pun ada bantu juga," katanya lagi.

 

 

ADS