Anwar kemukakan 29 asas rayuan Isnin ini
Pihak peguam bela dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengemukakan 29 asas rayuan terhadap hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati menyalahgunakan kuasa ketika dalam tugas.
Rayuan itu, yang akan didengar pada Isnin depan, akan mengemukakan pelbagai eksibit dan saksi yang dianggap penting bagi pihak pembelaan tetapi tidak dibenarkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Augustine Paul.
Petisyen rayuan setebal 15 halaman yang difailkan oleh peguam Sankara Nair itu menyatakan Paul "membuat tafsiran yang salah terhadap undang-undang dan fakta" apabila menerima bukti pihak pendakwaan sebagai sudah mencukupi dan memanggil Anwar membela diri.
"Hakim gagal melihat hal-hal yang relevan berhubung isu-isu yang dihadapkan kepadanya tetapi membuat kesimpulan berdasarkan premis yang palsu. Beliau gagal berfikiran objektif ketika mendengar perbicaraan," jelas pemohon.
Hal-hal lain yang ditimbulkan oleh pemohon termasuklah kegagalan hakim menilai dengan sewajarnya bukti yang diberikan oleh Pengarah Cawangan Khas Mohd Said Awang dan timbalannya Amir Junus. Said Awang pernah memberitahu mahkamah bahawa beliau, tertakluk pada keadaan tertentu, mungkin "bersedia untuk menipu" bagi menjalankan arahan pegawai-pegawai atasannya.
Permohonan itu membangkitkan kegagalan Paul menimbangkan bukti bahawa keterangan saksi utama pihak pendakwaan, Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali, mempunyai sangat sedikit kepentingan di sisi undang-undang dan tidak boleh diterima sama sekali kerana mereka tertakluk di bawah pengaruh "turning over" dari pihak polis Cawangan Khas.
Dalam keterangannya, Said Awang bersetuju bahawa jabatannya menggunakan teknik "turning over" ke atas mereka yang ditahan polis. Azizan, bekas pemandu isteri Anwar, Dr. Wan Azizah Ismail, dan Ummi ditahan di Bukit Aman ekoran surat yang mereka tulis kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed, mendakwa Anwar memaksa Azizan melakukan hubungan jenis.
Azizan dan Ummi, adik kepada bekas Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri itu, Azmi Ali, memberitahu mahkamah bahawa mereka disiasat selama berjam-jam ketika berada dalam tahanan polis. Proses "turning-over" melibatkan ugutan dan paksaan, tekanan psikologi dan penipuan ke atas orang tahanan dalam soal siasat.
Lagipun, pihak pembelaan menyatakan dakwaan salah lau seks yang dibuat oleh Ummi tidak disokong oleh kesan air mani pada tilam dan tidak dibuktikan oleh pihak pendakwa. Tilam itu - yang dirampas dari pangsapuri Sukma, adik angkat Anwar - dibawa ke mahkamah selepas Azizan mendakwa dia diliwat di atasnya.
Anwar dan Sukma kini dalam proses perbicaraan atas tuduhan meliwat Azizan pada "satu hari antara Januari hingga Mac 1993 pada jam 7.45 malam." Sukma juga dituduh membantu Anwar memaksa bekas pemandu itu mengadakan hubungan seks tersebut.
Anwar telah habis mengemukakan hujah alibi dalam tempoh masa yang dituduh itu dan alibi itu belum lagi dicabar oleh pendakwa. Bekas pemimpin nombor dua negara itu kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun bagi kesalahan rasuah. Anwar sering menafikan semua tuduhan itu dan mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi orang kanan Mahathir untuk menamatkan kerjaya politiknya.
Peguam utama pihak pembelaan, Raja Aziz Addruse, dijangkakan mengemukakan pertentangan hujah-hujah Azizan dalam rayuan itu. Azizan sebelum ini menyanggah keterangannya sendiri apabila dia memberitahu peguam Christopher Fernando bahawa dia masih melawat rumah Anwar kerana dia tidak pernah diliwat.
Anwar didapati bersalah atas tuduhan rasuah apabila beliau cuba menghalang siasatan polis ke atas surat-surat yang ditulis oleh Azizan dan Ummi.
Petisyen itu mencatatkan rayuan dari Anwar yang "berdoa agar kesalahan dan hukuman ke atasnya dibatalkan atau hukumannya diringankan." Raja Aziz akan dibantu oleh Sulaiman Abdullah dan Gurbachan Singh.
Rayuan itu dijangkakan memakan masa beberapa hari dan didengar oleh tiga orang hakim yang diramalkan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Lamin Yunus.
Jika rayuan itu tidak berjaya, pihak peguam bela akan melanjutkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Nair bagaimanapun yakin pihaknya akan berjaya. "Kami menyediakan kes yang kuat," katanya kepada malaysiakini.

