Penduduk dakwa bekalan air terjejas
Lebih 1,000 penduduk di Kampung Serian di Gua Musang, berdepan masalah bekalan air yang kritikal apabila terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian selepas kawasan tadahan air bukit terjejas sejak seminggu lalu.
Gangguan itu berlaku empat hari sebelum hari raya.
Seorang penduduk, Ghazali Mahmud, 57, yang bertanggungjawab menyelia kawasan tadahan air bukit itu, berkata semua pokok dan kawasan persekitaran tadahan air bukit itu musnah hingga airnya menjadi kering.
Mohd Nasir Jaafar, 51, pula berkata, perkara itu dimaklumkan kepada kerajaan negeri, tetapi sehingga hari ini belum ada pemimpin datang melihat.
Beliau berkata, pemimpin kerajaan negeri sepatutnya mengambil perhatian bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
"Tak tahulah apa yang akan berlaku ke atas penduduk kampung ini kerana masalah yang dihadapi amat sukar diselesaikan dan terpaksa menanggung derita menggunakan air cerun dan air hujan bagi keperluan harian.
"Air sungai berhampiran kampung itu langsung tidak boleh digunakan kerana keruh dan berselut akibat pembukaan tanah tidak terkawal di kawasan Hulu Kelantan," katanya.
- Bernama

