'Pendirian DAP isu lompat Sabah jelas dengan sendiri'
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan undang-undang antilompat parti yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan hak berpersatuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, bawah undang-undang itu wakil rakyat boleh bertukar parti dengan syarat mereka terlebih dahulu meletak jawatan yang diperoleh selepas memenangi pilihan raya.
Beliau turut mengulangi gesaannya sebelum ini bahawa bawah undang-undang itu kelak wakil rakyat yang bertukar parti perlu mendapat mandat baru dari rakyat yang diwakilinya.
"Perkara pokoknya, jika mereka wakil rakyat dan hormati demokrasi mereka harus letak jawatan dan dapat mandat pengundi semula," tegasnya.
Lim sebelum ini mengumumkan undang-undang itu akan dicadang di peringkat exco Pulau Pinang dan dijangka diluluskan dalam bulan November.
Pada sidang media di ibu pejabat DAP pagi tadi, beliau turut membidas MCA yang sebelum ini mendakwa DAP gagal bersuara terhadap tindakan melompat parti di kalangan ahli politik BN yang berpaling tadah kepada Pakatan Rakyat.
Turut jelas pendirian isu MP Sabah
Menurutnya, pendirian DAP terhadap perkara itu adalah jelas melalui cadangan undang-undang berkenaan.
Ia sekali gus menjelaskan pendirian DAP terhadap terhadap tindakan dua ahli parlimen Sabah yang keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka mesra Pakatan Rakyat, kata Lim.
"Kami belum pernah memberi komen terhadap tindakan mereka (Lajim dan Bumburing).
"Tetapi undang-undang antilompat yang kami bawakan ini dengan sendirinya menjelaskan perkara itu," katanya ringkas tanpa mengulas lanjut.
Sewaktu ditanya jika mereka juga perlu meletak jawatan sebagai ahli parlimen seperti digagaskan undang-undang itu, Lim berkata undang-undang sedia ada tidak membenarkan mereka berbuat demikian.
"Bagaimana mahu dapatkan mandat baru sekarang? Kerana di bawah undang-undang sedia ada ia tidak dibenarkan," katanya.
Di bawah undang-undang sedia ada, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika berlaku kekosongan kerusi tiga tahun selepas pilihan raya berlangsung.
'Mungkin BN mahu budaya lompat berterusan'
Menurut Lim lagi, undang-undang antilompat itu turut diulas sebagai mempunyai merit untuk dikaji semula oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan, kerana beliau dan partinya sendiri pernah menjadi mangsa akibat ketiadaan undang-undang sedemikian.
Pairin
(berkaca mata)
sebelum ini pernah mengetuai kerajaan Sabah menerusi Parti Bersatu Sabah (PBS).
Beliau dan PBS pernah meluluskan undang-undang antilompat di Sabah tetapi ia diisytiharkan ultra vires oleh mahkamah kerana dianggap bercanggah dengan perlembagaan.
Undang-undang itu yang menurut Lim disokong ramai rakyat berhadapan cabaran untuk dilaksanakan kerana ditentang pemimpin BN.
"Saya kesal BN tidak menyokong budaya politik yang bersih dan sihat ini.
"Ioa mungkin kerana mereka mahu budaya (lompat parti) ini berterusan," katanya.

