Tahun 2014 ditetapkan sebagai 'Tahun Persahabatan Malaysia-China' bagi memperingati ulang tahun ke-40 pengwujudan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

    

Keputusan itu dipersetujui oleh pegawai dari kedua-dua negara dalam rundingan strategik kedua antara Malaysia dan China di Beijing kelmarin, demikian menurut kenyataan Wisma Putra semalam.

    

Delegasi Malaysia yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman manakala Naib Menteri Luar China Fu Ying selaku ketua delegasi China turut bersetuju bahawa aktiviti bersesuaian akan dianjurkan untuk meraikan peristiwa itu.

    

Menurut kenyataan itu, dalam rundingan strategik kedua itu, kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat mengenai kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang kerjasama dua hala dan bersetuju bahawa hubungan Malaysia-China secara umumnya bergerak di landasan yang betul serta semakin akrab.

    

Ini termasuk pertukaran lawatan peringkat tertinggi yang aktif, penubuhan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan yang diluluskan dengan pantas di samping persetujuan segera oleh China untuk meminjamkan sepasang panda gergasi kepada Malaysia.

"Kedua-dua pihak menyuarakan komitmen untuk terus memperkukuhkan dan mempereratkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala pada masa hadapan," kata kenyataan itu.

    

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pendapat berhubung perkembangan terkini di Laut China Selatan.

    

"Dalam hubungan ini, kedua-dua pihak bersetuju peri pentingnya semua pihak terbabit untuk terus komited dan berpegang teguh kepada semangat serta surat Deklarasi Perilaku Pihak-pihak di Laut China Selatan ke arah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi Asean dan China untuk memulakan rundingan mengenai Kod Perilaku di Laut China Selatan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut keamanan dan kestabilan yang berterusan di Laut China Selatan akan memanfaatkan China dan Asean.

Malaysia dan China memulakan rundingan dua hala tahunan sejak 1991, sebagai mekanisme bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan kepentingan bersama selain melakukan susulan terhadap perkara yang dibincangkan oleh pemimpin kedua-dua negara.

    

Pada 2010, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamakan semula rundingan dua hala kepada rundingan strategik bagi menggambarkan peri pentingnya hubungan Malaysia-China yang semakin berkembang dalam lingkungan kerangka politik-keselamatan rantau Asia Pasifik.

    

Rundingan strategik pertama diadakan di Putrajaya tahun lepas.

- Bernama