Beberapa pemimpin PAS negeri mempertahankan kedudukan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang dijangka akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura parti itu, 9 September depan.

NONE Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan tiga pemimpin PAS negeri - Johor, Terengganu dan Selangor - berhubung tindakan ke atas anggota Majlis Syura itu atas cadangannya supaya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat jika DAP menentang hukum hudud.

Laporan itu timbul susulan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Harun Taib dalam akhbar itu semalam yang menyifatkan Nasharuddin "masih relevan dan mampu menyumbang" kepada perjuangan parti.

Dalam laporan Utusan hari ini, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Mahfodz Mohamed pula berkata Nasharuddin menunjukkan kewibawaan sebagai pemimpin kerana pernah memegang jawatan setiausaha agung dan timbalan presiden PAS.

NONE Menurut Mahfodz lagi, berdasarkan rekod, kepimpinan dan pengalaman Nasharuddin (kiri) masih diperlukan dalam parti dan berharap ahli Majlis Syura "tidak terikut-ikut dengan pihak yang mahu mengetepikan" Nasharuddin dalam mesyuarat berkenaan.

"Dengan kata lain, tiada keputusan drastik yang akan dibuat. Insya-Allah keputusan yang bakal diambil pada mesyuarat berkenaan lebih memberi manfaat kepada kedudukan Nasharuddin dalam PAS," katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan .

Mahfodz yang juga ahli Majlis Syura tidak menafikan pandangan bahawa "tindakan drastik" ke atas Nasha berkemungkinan besar akan memberi kesan negatif kepada parti lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum.

Ketua Pemuda PAS Terengganu Mohd Nor Hamzah pula dipetik sebagai berkata, Nasharuddin "sangat relevan" kepada perjuangan parti kerana MP tersebut merupakan anak didik bekas presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor dan pemimpin muda yang menjadi harapan PAS.

NONE "Harapan saya, dia sepatutnya boleh diberi ruang lagi kerana kelebihan yang dia ada.

"Masing-masing ada jasa dan setiap insan ada kelemahannya, begitu juga dengan Ustaz Nasharuddin, setiap orang ada kelebihannya dan perjuangan PAS terbukan untuk sesiapa sahaja," kata Mohd Nor seperti dipetik.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Muhamad Zin Abdul Rahman pula dalam laporan sama berkata, pemimpin parti tidak seharusnya menghukum Nasharuddin tanpa memberi peluang kepadanya memberi penjelasan kepada Majlis Syura.

Katanya, tidak adil untuk menghukum Nasharuddin berdasarkan laporan media, sebaliknya beliau berhak mempertahankan diri dengan memberi penjelasan kepada Majlis Syura.

"Hanya selepas memberi penjelasan dan mempertahankan tindakannya itu, barulah Majlis Syura Ulama boleh menilai sama ada beliau bersalah atau sebaliknya," katanya seperti dipetik.

Berundur secara baik

   

Nasharuddin sebelumm ini turut disarankan supaya berundur secara sukarela bagi mengelakkan isu berkenaan dieksploitasi.

Saranan itu disuarakan oleh bekas naib preside PAS Ahmad Awang yang melihat perkara itu sebagai jalan terbaik bagi tujuan itu, walau jawatankuasa tersebut berkuasa menggugurkan keahlian Nasharuddin.