Perpaduan yang kukuh dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi tunjang kepada kekuatan BN di Sarawak walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau yang juga presiden PBB berkata perjuangan utama parti adalah untuk menyatupadukan semua kaum di Sarawak dan bukan sahaja dalam kalangan bumiputera agar dapat sama-sama membantu memajukan Sarawak dalam segala aspek.

"PBB mempunyai sejarahnya yang tersendiri iaitu daripada tiga parti kita gabungkan menjadi satu dan asas perpaduan yang kukuh antara pemimpin bumiputera telah berjaya menjadikan PBB parti contoh kepada komponen BN yang lain," katanya.

Abdul Taib menegaskan demikian  ketika berucap di majlis ramah-tamah Aidilfitri Zon Kuching di sebuah hotel terkemuka di bandaraya tersebut.

Katanya, melalui persefahaman yang tinggi dalam PBB telah membolehkan parti itu menjadi pejuang kepada rakyat semua kaum di Sarawak dan bukan hanya kepada kaum bumiputera.

Menurutnya PBB yakin ia akan kekal menjadi tunjang kekuatan BN bukan sahaja di peringkat negeri malah juga pusat.

- Bernama