Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri tidak menjemput Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri program sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri yang berlangsung, malam tadi.

    

"Memang tak ada dalam program menjemput (Sultan). Memang biasa tiap-tiap tahun kita membuat cara ini, itu sahaja," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar bahawa Sultan Selangor dibelakangkan dalam acara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam.

Abdul Khalid ditemui pemberita selepas majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bersama rakyat yang dihadiri Sultan Selangor di Masjid Negeri di Shah Alam hari ini.

    

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi berkata urusan menjemput Sultan bagi menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri merupakan amalan biasa yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.

    

"Namun, terpulang kepada budi bicara baginda sama ada hadir atau tidak pada majlis itu," katanya.

    

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno negeri Abdul Shukor Idrus pula mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjemput pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor sebagai tetamu utama, pada majlis

itu.

    

Beliau berkata tindakan sedemikian dilihat tidak wajar kerana jawatan Penasihat Ekonomi Selangor adalah jawatan politik yang diwujudkan pentadbiran kerajaan negeri dan tidak terkandung dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Apakah kerajaan negeri mahu menggunakan sambutan yang dibiayai kerajaan negeri untuk kepentingan politik. Jika benar demikian, ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab selain menghina institusi Kesultanan Selangor," katanya.

Di KOTA BHARU, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata ada pihak mendakwa ia satu mesej daripada segelintir pemimpin dalam pakatan pembangkang yang cuba menidakkan peranan institusi diraja atas nama demokrasi.

- Bernama