Ketiadaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perbarisan dalam sambutan hari kemerdekaan Selangor disebabkan tugas-tugas trafik dan kawalan keselamatan, kata ketua polis negeri Datuk Tun Hisan Hamzah.
Tun Hisan berkata, sejak daripada awal pun, pihak polis memang tidak menyertai latihan untuk perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri, lapor Utusan Malaysia .
''Jadi kita hanya membantu dalam menjaga keamanan dan mengawal lalu lintas,'' beliau dipetik sebagai berkata kepada harian itu.
Pada malam 30 Ogos lalu, Malaysiakini melaporkan, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menarik diri daripada perarakan hari kemerdekaan peringkat negeri Selangor yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Exco Selangor, Teresa Kok berkata, alasan yang diberikan oleh pihak polis dan tentera ialah kerana adanya ucapan berunsur politik.
Majlis sambutan itu turut menjadi kontroversi apabila Sultan Selangor tidak dijemput pada acara tersebut.
Sebaliknya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula hadir dan memberikan ucapan pada hari tersebut.
