Dua pelajar M'sia maut dalam kemalangan di Russia
Kebimbangan Adzlin Dimyati, 27, bahawa sesuatu yang buruk menimpa Adzreen, 22, setelah khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dibalas menjadi kenyataan apabila dimaklumkan adik ketiganya itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Russia lewat malam tadi.
Azreen adalah antara dua pelajar Malaysia yang terbunuh dan lima yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya di Russia lewat malam semalam.
Seorang lagi pelajar yang maut dikenalpasti sebagai Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu. Manakala Adzreen adalah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dari Putrajaya. Hanisah meninggal dunia di tempat kejadian sementara Adzreen dalam perjalanan ke hospital.
Penuntut itu, kedua-duanya pelajar tahun lima dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan lima rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila
kemalangan berlaku,.
Duta besar Malaysia, Datuk Zainol Abidin Oma kata pelajar itu baru saja pulang dari Malaysia selepas cuti Hari
Raya untuk memulakan semester baru.
Sementara itu, Adzlin berkata, beliau telah menghantar SMS kepada Adzreen bertanyakan sama ada dia sudah tiba di Russia atau tidak, tetapi SMS saya langsung tidak dibalas.
"Biasanya, dia (Adzreen) akan menghubungi keluarga sebaik tiba di sana tetapi kali ini, dia langsung tak memaklumkan kapada kami. Saya pun rasa pelik apabila dia tidak membalas SMS saya yang bertanyakan dia sama ada sudah tiba di
Russia atau tidak.
"Pagi tadi, saya menerima SMS daripada abang saya yang memaklumkan bahawa adik ketiga saya itu meninggal dunia dalam satu kemalangan setelah abang saya dihubungi Jabatan Perkhidmatan Awam kira-kira 9 pagi," katanya ketika ditemui di
rumahnya di Presint 9 malam tadi.
Adzreen, pelajar tahun lima Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod yang baru pulang ke Russia untuk menyambung pengajian selepas tiga bulan bercuti di Malaysia, meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari lapangan terbang Moscow ke
Vladimirskaya.
Lima lagi pelajar Malaysia yang menaiki van bersama Adzreen dan Hanisah, menerima rawatan di sebuah hospital di Vladimirskaya.
Adzlin berkata mereka sekeluarga terkejut dan bersedih dengan pemergian mengejut Adzreen, khususnya ibu, Aini Abaas, 52 dan adik kembar Allahyarham, Adzwin, yang menuntut dalam bidang perubatan di Poland.
"Kami sekeluarga masih terkejut dengan pemergian Adzreen kerana baru sahaja semalam kami menghantarnya untuk pulang menyambung pengajian.
"Sepanjang tiga bulan bercuti di sini, tiada sebarang perubahan terhadap dirinya. Kami sekeluarga gembira kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama tahun ini," katanya.
Adzlin berkata kedua-dua adik kembarnya sebelum ini tidak pernah berpisah kerana mereka belajar dalam kelas yang sama di Kolej Tengku Kurshiah, Seremban, sebelum menyambung pengajian di peringkat A Level di tempat sama.
Bagaimanapun, katanya, pasangan kembar itu berpisah buat kali pertama ketika menyambung pengajian di peringkat universiti.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, van yang dinaiki pelajar itu berlanggar secara berdepan dengan sebuah van lain.
Beliau mengenalpasti pelajar yang cedera itu sebagai Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza.
Ketika memberikan butir-butir kepada wartawan Malaysia yang meliputi sidang APEC 2012, Zainal Abidin berkata bantuan segera telah ditawarkan kepada pelajar berkenaan berikutan laporan daripada seorang daripada mereka mengenai kemalangan itu.
"Segala bantuan akan diberikan kepada pelajar di hospital sementara persiapan sedang dibuat segera untuk membawa pulang mayat kedua-dua pelajar itu," katanya.
"Ini tragedi dahsyat dan yang pertama di sini," kata beliau.
- Bernama

