Bapa kepada pelajar kolej swasta yang terlibat dengan insiden menunjuk punggung ke atas gambar Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kelakuan anaknya itu.

A Rahman Abdullah, 53 juga berhasrat untuk bertemu perdana menteri dan isteri bagi memohon maaf secara peribadi, lapor Utusan Malaysia.

NONE Beliau juga dilapor masih terkejut dengan apa yang berlaku dan menyesali insiden itu kerana setahunya anaknya tidak terlibat dalam mana-mana parti politik.

"Mungkin dia terpengaruh dengan rakan-rakan atau dipergunakan pihak tertentu. Sepatutnya, dia lebih menumpukan masanya terhadap pelajaran," A Rahman dipetik sebagai berkata.

Pelajar kolej itu ditahan polis pada hari Selasa bagi diambil keterangan berhubung tindakannya yang kelihatan melondeh seluar dan menunjukkan punggung pada gambar Najib dan isteri dalam sambutan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, A Rahman turut menasihat anak muda lain agar tidak mudah terpengaruh dengan rakan-rakan atau mana-mana pihak sehingga menjejaskan ketenteraman awam serta masa hadapan.

A Rahman turut berharap anaknya insaf serta mengambil iktibar daripada kejadian tersebut serta memuji tindakan dan kerjasama semua pihak dalam menangani insiden itu.