Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail meminta agar pihak polis menjalankan siasatan secara adil berhubung insiden memijak gambar Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur.

Wan Azizah berkata, tindakan sama perlu diambil terhadap individu yang melakukan perbuatan memijak gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nak ambil tindakan, ambil kepada semua. Kalau (memijak gambar) ke atas perdana menteri  diambil tindakan. Orang yang buat begitu kepada Lim Guan Eng, tuan guru Nik Aziz juga perlu diambil tindakan. Itu baru adil.

"Tapi kalau hanya ambil tindakan yang buat pada gambar perdana menteri sahaja, itu adalah satu tindakan tidak adil," kata Wan Azizah kepada pemberita selepas melancarkan lori trailer Merdeka Rakyat di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau mengulas siasatan yang dijalankan polis berhubung tindakan peserta perhimpunan Janji Demokrasi pada sambutan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu.

"Pada segi adab timur itu (memijak gambar)  memang kurang sopan. Tindakan mesti diambil pada semua. Sama rata.

"Kita perlu ubah sistem kehakiman dan polis yang sedia ada. Kita perlu baiki sikap ini.

Rabu lalu, seramai tiga individu disiasat berhubung insiden memijak gambar Najib dan Rosmah semasa perhimpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka 30 Ogos lalu.

Seorang daripada individu berkenaan merupakan seorang pelajar kolej swasta yang didakwa melondehkan seluarnya sehingga menampakkan punggung ke arah gambar pembesar itu.

VIDEO | 2.04 min

ADS