Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konvoi kembara merdeka jelajah 12 daerah di Sabah
Diterbitkan:  Sep 7, 2012 11:13 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Sambutan kemerdekaan di negeri ini disemarakkan lagi menerusi Konvoi Kembara Merdeka Jabatan Penerangan Sabah yang menjelajah 12 daerah.

Konvoi tersebut disertai 80 peserta membabitkan 20 kenderaan dari agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran.

Ketua konvoi Durahim Jaman berkata konvoi itu memulakan perjalanan sejak 5 September lepas dan sudah melalui enam daerah iaitu Kota Kinabalu, Tamparuli, Ranau, Telupid, Tongod dan Beluran.

Katanya hari ini konvoi itu meneruskan perjalanan dari Sandakan dan akan singgah di dua daerah iaitu Kinabatangan serta Lahad Datu.

Menurutnya esok konvoi akan meneruskan perjalanan ke Kunak dan Tawau sebelum berakhir di Semporna pada Ahad ini.

"Setiap daerah yang disinggahi diadakan program mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada penduduk tempatan bagi menggalakkan semangat cintakan negara," katanya pada acara pelepasan konvoi itu di Sandakan hari ini.

Acara pelepasan disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Sekong yang juga Exco Penerangan Daerah Sandakan Datuk Samsuddin Yahya.

Terdahulu, Samsudin bersama Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Awang Hamsan Supain mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada 20 teksi dan di beberapa premis kedai terpilih di Bandar Sandakan.

Durahim berkata penganjuran kembara merdeka itu adalah fasa kedua diadakan selepas fasa pertama pada bulan Ramadan lepas.

Katanya ia merupakan program tahunan KPKK pada bulan kemerdekaan bagi meningkatkan semangat patriotik kalangan petugas di kementerian itu dan dikongsi bersama dengan rakyat di negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS