PKR utus Tian Chua bertemu Hindraf
PKR mengalu-alukan ajakan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) untuk berbincang dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menamakan Naib Presiden Tian Chua sebagai wakil ke tempatnya.
"PKR mengalu-alukan usaha NGO dan pertubuhan lain yang berusaha mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat yang menghadapi masalah serius dan tertinggal di belakang akibat kecuaian dan sikap acuh tak acuh kerajaan BN.
"Dalam konteks ini, kami menyokong usaha Hindraf untuk memperbaiki keadaan terpinggir masyarakat India," kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya hari ini.
Beliau merujuk kepada pelawaan Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy kepada Anwar untuk membincangkan masalah sosio-ekonomi masyarakat India sebelum ini.
Pada 29 Ogos, Waythamoorthy mengundang ketua pembangkang dan perdana menteri untuk membincangkan resolusi "tetap" untuk menyelesaikan masalah masyarakat India.
Waythamoorthy meninggalkan negara ini sejuru selepas perhimpunan besar Hindraf pada 2007 untuk menjalankan kempen sama di peringkat antarabangsa. Pasportnya ditarik balik pada 2008.
Selepas lima tahun, beliau berjaya kembali pada 1 Ogos lalu tanpa sebarang halangan.

