Pemuda BN Pulau Pinang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng "takut" untuk menghadiri dialog berhubung isu perumahan rakyat di depan Taman Manggis hari ini.

Ketua Pemuda BN negeri Oh Tong Keong berkata, beliau telah menghantar undangan secara rasmi, termasuk melalui faks pada 5 September, tetapi tiada seorang pun daripada pejabat Lim mengesahkan kehadirannya.

NONE Lim yang juga setiausaha agung DAP difahamkan sedang berada di Shanghai, China sejak 4 September untuk urusan perniagaan.

Ketika dihubungi, setiausaha akhbar ketua menteri Cheong Yin Fan berkata, majikannya itu hanya pulang petang semalam dan mempunyai mesyuarat exco pagi ini di Komtar.

Bagaimanapun Oh ( kiri ) berkata, pasukannya mahu menunjukkan kepada Lim tanah sepanjang Jalan Zainal Abidin yang didakwanya terlalu kecil untuk perumahan murah dan sederhana.

Oh yang juga ketua Pemuda Gerakan berkata, rumah itu sebenarnya cukup besar untuk membina sebanyak 272 rumah pangsa - seperti dicadang dan diterima ketika pemerintaan BN sebelum 2008.

Namun exco perumahan Wong Hon Wai sebelum ini mendakwa pentadbiran BN tidak memajukan pelan perumahan itu kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Oh kemudiannya menunjukkan memo yang dikeluarkan pada Julai 2003 oleh Pengarah Rumah dan Kerajaan Tempatan Tan Lee Lee yang menunjukkan projek itu diluluskan oleh mesyuarat exco pimpinan Gerakan.

Katanya, tanah itu cukup untuk projek dirancang ekoran fasa pertamanya mempunyai pelbagai kemudahan seperti surau, tempat parkir dan permainan kanak-kanak, tempat pembuangan sampah dan stesen kuasa elektrik TNB.

Justeru, sebahagian 'kecil' tanah cukup untuk pembinaan unit baru kerana kemudahan baru sudah tersedia, tegas Oh.

"Kenapa dia (Lim) takut hendak datang? Kami mahu tunjukkannya kawasan ini. Dia tidak akan tahu sama ada cukup untuk perumahan rakyat jika tidak turun padang melihatnya sendiri," kata Oh dalam sidang media hari ini.

[Baca berita penuh]