Modul baru latih peserta PLKN jadi 'wakil rakyat'
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan memperkenalkan modul baru iaitu Modul Kenegaraan di 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula tahun hadapan, kata pengerusinya Datuk Dr Tiki Lafe.
Beliau berkata selepas membuat projek perintis di 14 kem latihan tahun ini, beliau yakin modul tersebut akan membantu melahirkan belia yang lebih patriotik.
"Melalui modul baru ini kita juga akan melatih wira dan wirawati PLKN untuk menjadi pemimpin di dalam kem sama peranan seperti seorang wakil rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan pelatih PLKN Siri 3 9/2012 di Dewan Suarah Kuching di Kuching.
Katanya selain modul terbaru itu, MLKN juga memperkenalkan beberapa sub modul I-Smart dan Smart Solat kepada pelatih bermula tahun ini.
Menurutnya untuk siri baru kali ini, kira-kira 40,000 pelatih akan menjalani latihan di kem PLKN seluruh negara bagi tempoh tiga bulan bermula hari ini.
- Bernama

