Darah muda & aktivisme yang mengubah dunia
ULASAN Gerakan mahasiswa China 1989 mencatat sejarah kebangkitan terbesar mahasiswa seluruh dunia.
Ribuan mahasiswa dan golongan pekerja keluar ke jalan raya menuju ke Dataran Tiananmen sebagai langkah menuntut keterbukaan, hak asasi dan demokrasi.
Protes ini menjadi tragedi bila kerajaan komunis China bertindak ganas dengan mengarahkan tentera menembak ke arah demonstran dan ribuan akhirnya terbunuh pada 4 Jun 1989.
Menarik untuk kita lihat, apabila majalah
The Times
, April 1998 meletkakan salah seorang
100 most influential person
adalah seorang mahasiswa yang terlibat dalam protes ini - yang hanya dirujuk sebagai
unknown rebel
.
Mahasiswa ini terus menjadi perhatian dunia kerana tindakan menahan dan menghalang seangkatan kereta kebal tentera yang cuba untuk memasuki Dataran Tiananmen selepas tragedi berdarah yang membunuh hampir 2,500 orang golongan pekerja dan mahasiswa akibat ditembak tentera.
Sehingga hari ini, identiti beliau masih menjadi tanda tanya. Nasib beliau selepas itu tidak diketahui.
Namun ada khabar angin yang mengatakan beliau dibunuh kerana tindakannya yang menarik perhatian dunia, sehingga hari ini.
Begitu juga berlaku di Tunisia. Kebangkitan Arab termasuk Libya, Mesir, Syria, Yaman, Bahrin dan lain-lain bermula di Tunisia. Kuncinya peristiwa sekitar graduan Muhammad Bouazizi.
Anak muda berusia 26 tahun ini baru selesai zaman mahasiswa cuba untuk mendapatkan pekerjaan namun tidak berjaya. Lalu beliau cuba berniaga sendiri dengan menjual sayur kecil-kecilan.
Akibat tidak diberikan lesen, kereta jaja sayurnya disita oleh pihak berkuasa tempatan.
Pejuang rakyat, bukan bunuh diri
Beliau cuba membuat laporan polis, tetapi ditampar dan dipukul. Bouazizi juga cuba untuk membuat aduan ke pihak atasan tetapi tidak diendahkan.
Boazizi umpama jatuh ditimpa tangga dan tidak tahan dengan kebobrokkan sistem yang di bawah 25 tahun pemerintahan Ben Ali dan isterinya, Laila.
Beliau mengambil tindakan protes dengan membakar diri dan tidak lama selepas itu mati.
Natijah daripada tindakan ini, beliau menjadi pencetus kebangkitan bukan sahaja kepada rakyat Tunisia malah seluruh Tanah Arab.
Tindakan Bouazizi diangkat dan dibela oleh Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Qardhawi melalui tulisan Ulama Syria, Ahmad Muaz al-Khatib al-Hasani. Bouazizi pejuang rakyat dan tidak dianggap membunuh diri.
Beliau umpama lilin yang membakar diri, mempercepatkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan kerakusan kuasa Ben Ali.
Kalau direnung sejarah pula banyak yang boleh diceritakan tentang kebangkitan mahasiswa.
Di India Baghad Singh dan rakan-rakan mahasiswa yang lain secara sukarela sanggup untuk ditahan, diseksa dan dibicarakan semata-mata untuk mendapat perhatian media, rakyat dan anak muda supaya menentang penjajah British.
Baghad bersama rakan-rakan akhirnya mati dihukum gantung.
Melihat kepada beberapa sejarah gerakkan mahasiswa, menuntut perubahan dan keadilan penuh dengan insiden tragis yang tidak masuk akal.
Namun insiden yang melibatkan mahasiswa ini pencetus kepada revolusi, reformasi, gelombang kebangkitan rakyat menuntut perubahan dan keadilan.
Ada kalanya tak masuk akal
Di Malaysia tidak jauh bezanya. Hari ini mahasiswa Malaysia bangun menuntut perubahan dan keadilan daripada rejim yang telah 55 tahun memerintah Malaysia.
Walaupun adakalanya tindakan yang dilakukan tidak masuk akal termasuk turunkan bendera, pijak gambar dan kibar bendera sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.
Seperti Adam Adli, beliau juga Mohammad Bouaziz yang umpama lilin membakar diri bagi menyeru rakyat bangun melawan kezaliman BN. Tindakan Adam Adli cetusan hati nurani mahasiswa yang berkata "cukup 55 tahun".
Kita boleh berbeza pandangan dalam hal ini dan boleh sahaja kita bahaskan. Namun ini tindakan yang bakal menjadi pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat oleh mahasiswa.
Mahasiswa kelompok masyarakat yang punya idealisme dan prinsip untuk menuntut keadilan dan kebebasan.
Bukan sahaja idealisme, malah darah muda yang mereka miliki mencetus kepada aktivisme yang menggerakkan gelombang kebangkitan rakyat tanpa kenal lelah dan kepentingan peribadi.
Mahasiswa sedang berbicara kepada sang penguasa bahawa "kamu berlaku zalim dan perbodohkan rakyat".
Kata-kata ini diterjemahkan mahasiswa dalam perbagai bentuk baik sastera, demonstrasi, teater, puisi dan wacana.
Gerakan mahasiswa punya jalan dan idealisme tersendiri berbeza dengan parti politik mahupun NGO yang lain.
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
pengarah biro mahasiswa Pemuda PKR. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi
Malaysiakini.

