Pelapor khas PBB ulas Akta Perhimpunan Aman 2012
Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak berpersatuan dan perhimpunan aman, Maina Kiai, melahirkan kekecewaannya berhubung Akta Perhimpunan Aman 2012 (PPA), yang telah diluluskan secara tergesa-gesa di Parlimen November lepas.
Menurutnya, terdapat perkara-perkara dalam undang-undang kontroversi itu yang gagal memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
"Undang-undang ini digubal bukan ke arah memudahkan perhimpunan, tetapi lebih kepada mengawal. Itu, saya fikir, adalah isu asas bagi saya dan keseluruhan PBB.
"Adalah mengecewakan undang-undang itu diluluskan seperti itu, tetapi ada ruang untuk membuat perubahan dan pindaan," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu.
"Saya telah banyak kali berkata bahawa perhimpunan aman
sebenarnya bertujuan untuk mengganggu hari-hari biasa. Ia bertujuan untuk berbuat demikian.
"(Oleh itu) peranan pihak berkuasa adalah untuk memudahkan dan meminimumkan gangguan tersebut. Mungkin seseorang boleh berhujah anda tidak seharusnya mengganggu lalulintas, tetapi rakyat mempunyai hak untuk membantah di jalanan."
Kiai, seorang peguam terkemuka Kenya yang telah menjadi pelapor khas PBB sejak Mei tahun lepas, berkata kebebasan untuk berhimpun adalah penting bagi rakyat untuk menyuarakan rungutan mereka mengenai ekonomi, sosial dan budaya.
Disoal mengenai apa aspek PAA yang beliau dapati amat mengecewakan, Kiai menyentuh tentang keperluan 10 hari untuk memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan yang dicadangkan dan larangan perarakan.
"Perhimpunan bukan sahaja mengenai membuat ucapan, tetapi anda boleh berjalan. Saya fikir dalam undang-undang (PPA), terdapat larangan perarakan dan ini bertentangan dengan norma antarabangsa.
"(Satu lagi amalan yang tidak baik) ialah anda memanggil pihak penganjur untuk menjelaskan mengapa anda tidak memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum ia diadakan. Itu bukan cara anda melakukannya.
"Peranan polis adalah untuk memudahkan (perhimpunan) dan bukan mengawalnya. Peranan PPA adalah untuk memberi anda hak (untuk berhimpun secara aman) sebagai warganegara, bukan untuk mengurangkannya," katanya.
"Jika terdapat beratus ribu orang yang keluar (untuk menyertai perhimpunan), maka ia bermakna terdapat isu penting yang perlu diberi perhatian," katanya.

