Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas guru cabul pelajar, dipenjara 3 tahun
Diterbitkan:  Sep 13, 2012 9:20 AM
Dikemaskini: 9:53 AM

Seorang bekas guru sekolah rendah, yang pada dua tahun lepas mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berumur lapan tahun, memulakan hukuman penjara tiga tahun semalam selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan tempoh hukuman penjaranya.

    

Panel tiga anggota terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Apandi Mohamed Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Mohtarudin Baki sebulat suara menolak rayuan akhir Anuar Shaari.

    

Anuar, 50, disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret pada 7 Februari tahun lepas kerana menggunakan paksaan untuk mencabul kehormatan pelajar Tahun Dua itu di bilik muzik Sekolah Kebangsaan Sungai Duri di Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang, antara 3 petang dan 4 petang 17 November 2009.

    

Bagaimanapun, pada 6 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi George Town menambah tempoh hukuman penjaranya kepada tiga tahun.

    

Mahkamah Tinggi menolak rayuan Anuar terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang mensabit dan menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadapnya dan membenarkan rayuan balas oleh pendakwaan bagi tempoh hukuman penjara yang lebih berat.

Anuar memperoleh kebenaran penangguhan pelaksanaan hukuman dan jaminan RM4,000 beserta seorang penjamin daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya didengar oleh Mahkamah Rayuan.

    

Fakta kes mendedahkan bahawa pada hari berkenaan, pelajar perempuan terbabit diarah membawa buku teks Bahasa Melayu ke dalam bilik muzik itu.

    

Apabila pelajar perempuan itu tiba di bilik muzik, tertuduh mengunci pintu, mengambil sebuah kerusi dan mengarahkan pelajar itu duduk. Selepas mencabul kehormatan pelajar itu, Anuar mengarahkannya supaya balik ke bilik darjah.

    

Pelajar perempuan itu memberitahu ibunya tentang kejadian itu apabila ditanya selepas ibunya melihat pelajar itu menangis ketika pulang dari sekolah. Ibu pelajar itu kemudian membuat laporan polis.

    

Anuar diwakili peguam RSN Rayer manakala Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim pula mewakili pendakwaan.

    

- Bernama

ADS