Keluhan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi berpersatuan dan perhimpunan aman Maina Kiai terhadap penanggungjawaban protes di Malaysia menandakan ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan kerajaan selama ini.

"Teguran ini merupakan tamparan hebat buat kerajaan yang selama ini merasa mereka di pihak yang benar, sedangkan kenyataan wakil PBB ini telah membuktikan sebaliknya.

NONE "Barangkali beliau sendiri menyaksikan bagaimana teruknya pukulan polis terhadap penganjur, wartawan dan juga peserta awam dalam himpunan tersebut," kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor ( kanan ).

Kiai dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini mengeluh kerana Malaysia antara segelintir negara di mana penganjur protes dipertanggungjawabkan secara peribadi terhadap kerosakan ketika demonstrasi.

Katanya, perkara itu bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia kerana negara mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pihak yang mahu berhimpun boleh berbuat demikian secara aman.

Dalam kenyataannnya semalam, Riduan berkata, teguran Kiai sepatutnya diberi perhatian penting oleh kerajaan, termasuk dengan memberikan ruang seluas-luasnya untuk rakyat "menyatakan rasa hati" melalui perhimpunan aman.

Beliau juga mempersoalkan kewajaran perhimpunan BERSIH 3.0 sebelum ini dianggap seolah-olah kesalahan besar dan menyalahi undang-undang sedangkan di sisi PBB ia perkara biasa.

"Dengan laluan yang diberikan, lokasi ditentukan, kerjasama erat pasukan keselamatan serta trafik yang dimudahkan, perhimpunan aman di negara ini akan berlangsung dengan jayanya tanpa sedikit pun darah dan air mata rakyat tumpah.

"Jika ini berlangsung dengan baik, tidak mustahil wakil PBB dalam tahun mendatang akan memuji tindakan kerajaan yang penuh demokratik, kata Riduan.