Kartunis terkenal Zunar yang sering menjadi mangsa pengharaman komik menyertai satu perhimpunan di kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat bagi membantah undang-undang zalim yang digunakan ke atas karyanya.

Dalam perhimpunan anjuran Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa dan Amnesty International itu, para peserta antara lainnya melaungkan "Siapa punya hak untuk melukis? Zunar!" dan "Siapa takut kepada kartun? Kerajaan Malaysia!"

NONE Zunar berkata, beliau beliau turut bercakap menggunakan pembesar suara dan mencabar pegawai-pegawai kedutaan supaya menemui mereka dalam perhimpunan yang berlangsung selama 45 minit itu.

"Dua daripada mereka keluar kemudiannya tetapi enggan mendedahkan nama dan jawatan mereka.

"Saya memperkenalkan para demonstran kepada mereka dan memaklumkan tujuan kami berdemonstrasi. Mereka juga enggan memberi sebarang komen," kata Zunar.

Turut menyertai perhimpunan di Washington DC itu ialah pengarah eksekutif rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa Dr Robert Russell, timbalannya Andrew Rougier Chapman serta koordinator Amnesty International Becky Farrar.

NONE "Selain saya, kartunis yang turut mengambil bahagian ialah pemenang Hadiah Pulitzer untuk Kartun Editorial 2012 Matt Wuerker, kartunis Iran dalam pelarian yang juga pemenang anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial Nik Kowser dan kartunis terkenal Amerika Jeff Parker," kata Zunar lagi.

Katanya, karyanya yang mengkritik kerajaan serta kartun yang mendedahkan rasuah kerajaan disekat dengan undang-undang zalim tersebut.

"Tujuh buku kartun saya diharamkan, saya telah ditahan di bawah Akta Hasutan, pejabat saya sering diserbu, kilang pencetak dan penjual buku-buku saya juga sering diserbu dan diberi amaran agar tidak mencetak dan menjual buku-buku saya," katanya lagi.

Beliau berada di Washington DC dan New York untuk menyertai Persidangan Kartunis Editorial Amerika sebagai tetamu dan berjumpa aktivis negara di Amerika Syarikat.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque merupakan pemenang anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011 oleh rangkaian hak asasi itu tahun lalu.