Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini membidas kenyataan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Maina Kiai berhubung Akta Perhimpunan Aman 2012 yang diluluskan Parlimen pada November lalu.

Setiausaha NGO itu Syed Hassan Syed Ali ( bawah ) menegaskan wakil dari Kenya itu "tidak layak" bercakap soal demokrasi di Malaysia kerana amalan di negara ini "lebih baik" daripada negara Afrika itu.

NONE "Undang-undang kita sesuai dengan keadaan negara kita. Pada PERKASA, seorang dari Kenya tidak layak untuk bercakap hal ini, apa lagi menyentuh negara ini yang jauh lebih baik amalan demokrasi dari negara Kenya," katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan Maina melahirkan kekecewaannya berhubung akta tersebut yang diluluskan Parlimen tahun lalu.

Katanya, terdapat perkara tertentu dalam undang-undang kontroversi itu yang gagal memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Syed Hassan berkata, undang-undang di Malaysia bersesuaian dengan keadaan di negara ini dan tidak seperti yang diamalkan di negara lain termasuk Kenya, Amerika Syarikat dan Britain.

"Adalah lebih baik beliau menegur PPB dalam menangani kezaliman kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin dan kezaliman kerajaan Burma terhadap umat Islam Rohingya. Boleh dipercayai bahawa Malaysia lebih demokrasi dari PBB sendiri," katanya.

Tutup sebelah mata

Syed Hasan juga berkata, amat memalukan apabila Maina ( bawah ) hanya berani menyentuh cara Malaysia menangani perhimpunan awam, tetapi "tidak berani" menegur negara kuasa besar Amerika Syarikat yang mengurung warga asing di Guantanamo.

NONE "Jangan berani kritik negara membangun sahaja, tapi apa negara maju buat, kamu tutup sebelah mata.

"Jangan kata AS, undang-undang di Singapura juga beliau tidak berani usik. Pergilah ke Singapura dan kritik negara itu mengekalkan ISA.

"PERKASA berharap kerajaan tidak tunduk dengan gesaan orang seperti Maina wakil PBB ini. PERKASA percaya apa yang beliau kritik adalah setelah mendengar dari sebelah pihak sahaja," katanya.

Syed Hasan meminta Maina mendapatkan pandang seluruh rakyat Malaysia berhubung kawalan perhimpunan oleh kerajaan.

Beliau juga mendakwa kenyataan wakil PBB yang dianggapnya sebagai "wakil asing yang mahu kerajaan negara ini yang ada sekarang tumbang" pada pilihan raya umum akan datang.

"Kredibiliti seorang peguam dari negara seperti Kenya ini, kita sememangnya boleh jangkakan sifat pilih kasih bila lupa asal usulnya," katanya.