Seorang pelajar lelaki warga Guatemala mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota polis pada Mei lepas.

John Bayron Coronado Toledo, 23, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Sazali Abdul Samek dengan cuba melanggarnya dengan sebuah kereta di tepi sebuah rumah di Jalan USJ 18/2A, Subang Jaya, pada 9.25 malam, 26 Mei lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun memohon agar tiada ikat jamin diberikan memandangkan tertuduh merupakan warga asing dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

    

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu dan menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes dan bagi tertuduh melantik peguam.

    

Sementara itu, rakan senegara tertuduh, Wilma Albeato Uribe Lodica, 25,

turut menghadapi pertuduhan sama dan akan didakwa di mahkamah Petaling Jaya esok.

- Bernama