Demo sarang burung: Noh tawar makan tengah hari
Perhimpunan pengusaha sarang burung walit yang tidak puas hati dengan cara kerajaan menguruskan industri itu dengan tidak disangka-sangka disambut pelawaan makan tengah hari oleh Datuk Seri Noh Omar.
Bagaimanapun, di hadapan penyokongnya, Noh menghamburkan kritkan terhadap anggota Dewan Undangan Negeri Ng Suee Lim dan beberapa lagi pemimpin perhimpunan itu.
Kira-kira 500 orang tampil di pusat khidmat wakil rakyat Noh di Tanjung Karang kira-kira jam 11 pagi hari ini ketika menteri Umno itu menjadi tuan rumah untuk majlis hari raya bersama kontraktor tempatan.
Ketika dihubungi, Ng berkata, beliau terkejut apabila dapati Noh sudah bersedia menunggu kedatangan mereka.
"Kami kibarkan kain rentang bantahan dan kemudian wakil Umno datang melintas jalan dan minta kami hantar wakil untuk sertai makan tengah hari," katanya.
Ng, ditemani empat orang lagi kemudian memasuki khemah jamuan dan menyerahkan memorandum kepada Noh. Wakil pengusaha burung walit juga diberikan mikrofon untuk membacakan satu persatu tuntutan mereka.
"Tetapi selepas itu, Noh ambil balik mikrofon dan berkata, disebabkan kami, beliau terpaksa memberitahu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak dapat hadir ke perhimpunan agung perwakilan Umno Selayang pagi ini.
"Dia jawab satu persatu memorandum itu dan menuduh saya mempolitikkan perkara itu," katanya.

