Menteri: SSM akan temui AG untuk dakwa Suaram
Menteri yang bertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata badan itu akan mengesyorkan kepada peguam negara untuk mendakwa syarikat Suara Inisiatif Sdn Bhd yang dikaitkan dengan NGO Suaram.
Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, syor berkenaan akan disampaikan peguam negara pada jam 4 petang ini.
Dalam sidang media di ibu pejabat SSM itu, Ismail Sabri berkata suruhanjaya berkenaan akan memulakan tindakan undang-undang berdasarkan laporan kewangan Suara Inisiatif yang mengelirukan.
Ketika diminta menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri berkata, kekeliruan itu melibatkan semua perkara namun butiran berkenaan masih tidak dapat didedahkan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd Naim Daruwish berkata kertas siasatan dikemuka kepada Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pertemuan lebih dua jam.
"Kita tengok daripada lima 'angle', cuma satu yang betul-betul 'complete' di pandangan mata SSM. Yang paling penting kita bentangkan salah satu kes itu, biar Jabatan Peguam negara yang buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas
pertemuan itu di Putrajaya.
Ditanya mengenai tindakan SSM seterusnya, Mohd Naim berkata: "Kita akan terus tengok 'angle-angle' lain. Terpulang kepada keputusan Pejabat Peguam Negara. Kalau dapat 'green light' kita akan buat pendakwaan."

