Sebanyak 54 kamera litar tertutup (CCTV) di tempatkan di beberapa kawasan strategik di sekitar pusat bandar ini bagimenangani kejadian jenayah.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata pemasangan CCTV itu boleh menghalang cubaan untuk melakukan jenayah kerana penjenayah sedar segala pergerakan sentiasa diawasi.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada delegasi Majlis Bandaraya Kuching Selatan yang diketuai Timbalan Datuk Bandar Abang Affandi Abang Annuar di sini, semalam.   

"CCTV ini memberi kesan yang membimbangkan penjenayah kerana semua imej yang dirakam akan disalur kepada Ibu Pejabat Polis Daerah di sini dan dipantau 24 jam sehari oleh pegawai polis," katanya.   

Projek pada tahun 2008 itu adalah inisiatif Majlis Perbandaran Sibu dan dilaksanakan dengan kerjasama Emastech dan sebuah syarikat telekomunikasi, Danawa serta dibantu oleh polis.   

Shafie berharap lebih banyak pihak, termasuk sektor swasta dan masyarakat sekitar, akan bersama-sama majlis perbandaran itu dan polis dalam usaha memperluaskan rangkaian CCTV untuk membolehkan ia meliputi lebih banyak kawasan seperti jalan-jalan belakang dan kawasan perumahan.

- Bernama