Pedagang Melayu: Demo isyarat Muslim mesti bersatu
Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menyokong protes besar-besaran di ibu negara semalam yang mengecam penerbitan filem Innocence of Muslims dan karikatur yang mempersenda dan memfitnah Nabi Muhammad SAW.
Perdasama dalam satu kenyataan hari ini berkata perhimpunan hari ini memberi gambaran bahawa sentimen dalam mempertahankan kesucian agama Islam mengatasi segala-galanya dan melangkaui batas fahaman politik.
"Sikap memperlekehkan sesuatu agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh musuh Islam memberi impak yang besar kepada umat Islam di negara ini bahawa agama Islam adalah agama suci yang tidak boleh dipersendakan oleh mana-mana pihak sama ada di dalam atau di luar negara," kata kenyataan itu.
Perdasama melihat perhimpunan itu sebagai satu isyarat bahawa umat Islam di Malaysia perlu bersatu.
"Penyatuan ummah sebagaimana yang ditunjukkan hari ini dalam konteks mengembalikan kekuatan orang Islam menentang sebarang anasir kafir yang cuba mencemar kesucian agama Islam perlu diteruskan dari semasa ke semasa," kata Perdasama.
Perdasama sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang membela kepentingan pedagang dan pengusaha Melayu seta menyokong sepenuhnya transformasi kerajaan, yakin bahawa protes hari ini mewujudkan satu lagi kekuatan yang perlu ada antara semua pihak dalam mempertingkatkan ekonomi orang Melayu agar setanding dengan negara maju.
- Bernama

