Suaram: Hentikan aniaya kami
Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membuat laporan terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap apa yang disifatkannya penganiayaan terhadap mereka oleh kerajaan ekoran siasatan demi siasatan.
Dalam memorandum 14 halaman yang diserahkan ke ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur semalam, Suaram menggesa suruhanjaya itu menyatakan pendirian tegas terhadap gangguan terhadap mereka yang dianggap mencabuli hak asasi dan hak berpersatuan.
Mereka juga menggesa Suhakam perbuatan tidak wajar terhadap kumpulan masyarakat sivil itu dihentikan.
"Suaram amat bimbang dengan kuasa keterlaluan yang ditunjukkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Ismail Sabri Yaakob yang ekoran campur tangan dan mempengaruhi siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SKM) terhadap Suaram," kata pengarah eksekutifnya E Nalini.

