Exco: S'gor gembira jika Pahang batal perjanjian air
Exco kerajaan Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri menyambut baik hasrat Pahang untuk membatalkan perjanjian bekalan air ke negeri itu kerana menurutnya akan memberi penjimatan sehingga RM60 juta setahun kepada Selangor.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob perlu menyatakan secara rasmi sekiranya projek berkenaan sememangnya tidak akan diteruskan, kata Jayakumar seperti dilaporkan media rasmi kerajaan negeri,
TV Selangor.
“Kalau dia (Adnan) dah cakap macam itu, lebih baik dia tulis black and white kepada kita.
“Selangor memang gembira sebab kita tidak perlu membayar RM60 juta setahun kepada dia dan dia boleh jawab kepada perjanjian-perjanjian yang dia sudah buat,” katanya dalam laporan di Selangorku.com itu.
Beliau mengulas ancaman Adnan (kanan) semalam yang menimbang untuk membatalkan perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah ke Selangor sekiranya kerajaan negeri tetap enggan membenarkan projek loji air Langat 2 diteruskan.
Adnan dalam laporan Bernama semalam menyebut, Pahang bertindak demikian memandangkan kerajaan Selangor didakwa tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua negeri sebelum ini.
"Kalau beliau (menteri besar) masih terus berdegil, kerajaan Pahang akan mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang negeri mengenai projek itu dan akan membatalkan perjanjian itu," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

