Semua imbuhan yang diberikan kepada peneroka-peneroka Felda adalah hasil keuntungan operasi perladangannya, bukan daripada peruntukan kerajaan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Beliau berkata Felda tidak menerima peruntukan daripada kerajaan sejak 1991.

    

isa samad interview 150509 "Hakikatnya ialah apa yang kami gunakan untuk program-program Felda adalah duit Felda sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan penajaan oleh Felda sempena Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka Johor 2012 di ibunegara hari ini.

    

Isa ( kiri ) berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan memberi lebih perhatian kepada warga Felda.

    

Beliau berkata Felda turut memperuntukan RM20 juta tahun ini untuk Kasih Felda, program membaik pulih rumah terpilih.

   

"Kami memperuntukan RM5 ribu bagi setiap rumah yang dipilih untuk dibaiki," katanya.

    

Menurut Isa, program Kasih Felda adalah antara cara perkongsian daripada kejayaan Felda yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    

"Selain daripada itu Felda juga akan menampung sebahagian daripada kos anak-anak Felda yang masuk ke universiti tempatan yang bertujuan untuk meringankan beban kerajaan dari segi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

    

"Apabila kita menampung sebahagian dari pinjaman tersebut, anak-anak di luar Felda akan dapat menikmati peluang pinjaman," katanya.

    

Selain itu, Felda juga memberi latihan kepada anak-anak Felda setiap tahun, sebagai contoh tahun ini terdapat kira-kira 2,900 peneroka Felda mendaftarkan anak mereka untuk program latihan berkenaan.

- Bernama