P'raya kampus: Pelajar perlu laksana tanggungjawab
Semua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu melaksanakan tanggungjawab dalam memilih wakil dalam pilihan raya kampus hari ini bagi membolehkan suara mereka didengar oleh pengurusan universiti, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Beliau berkata para pelajar tidak sepatutnya membiarkan peluang yang ada (memilih calon) itu dibiarkan begitu sahaja kerana calon yang akan dipilih akan membantu bagi menyampaikan suara atau pandangan mereka kepada pihak pengurusan universiti.
Dr Mohamed Mustafa berharap UUM akan mencatatkan jumlah tertinggi pelajar keluar mengundi pada pilihan raya kampus hari ini.
"Mereka bukan sahaja perlu melaksanakan hak-hak mereka dalam memilih pemimpin universiti, tetapi ia juga menunjukkan bahawa mereka memahami politik dan kepentingannya," katanya di Sintok.
Beliau berkata pelajar UUM perlu memilih wakil yang boleh menyuarakan keperluan dan aspirasi mereka.
Di UUM, sebanyak 21 calon layak untuk bertanding dengan 12 daripada mereka akan bertanding untuk kerusi umum manakala sembilan calon bertanding untuk tiga kerusi fakulti.
Sebanyak 22 calon menang tanpa bertanding di kerusi fakulti masing-masing semasa hari penamaan calon minggu lepas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UUM Prof Madya Dr Mohd Amy Azhar Mohd Harif berkata kira-kira 19,000 pelajar universiti itu akan mengundi dalam pilihan raya kampus di UUM hari ini.
Beliau berkata tahun lepas sebanyak 95 peratus daripada pelajar UUM keluar mengundi dalam pilihan raya kampus.
Pilihan raya kampus akan diadakan serentak hari ini di semua universiti awam di seluruh negara.
- Bernama

