Mangsa kebakaran masih tunggu janji ganti rumah
Empat keluarga kebakaran di Jalan Sungai di George Town mendakwa masih belum menerima rumah gantian yang dijanjikan kerajaan negeri.
Wakil mangsa kebakaran itu, Tan Hock Chai, 65, mendakwa, janji untuk memberikan rumah gantian itu dibuat oleh dua wakil rakyat - Ng Wei Aik dan Chow Kon Yeow setelah melawat mangsa kebakaran empat rumah papan itu pada Februari tahun lepas.
Tan mendakwa setelah 20 bulan menunggu, Ng yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Chow yang juga exco kerajaan negeri, masih berdiam diri mengenai janji mereka.
"Sekarang saya terpaksa sewa rumah lain kena bayar RM250 sebulan dan sewa tapak rumah sebanyak RM20 sebulan kepada MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) kena bayar juga," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Katanya penduduk yang terlibat telah berputus asa menunggu rumah gantian itu dan mengambil keputusan berpindah ke tempat lain.
Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, pelan rumah gantian itu sudah ada tetapi tiada tanda-tanda projek itu akan dilaksanakan.
- Bernama

