Seorang lelaki mengamuk dengan memecahkan pintu dan dinding sebuah kedai serbaneka selepas tidak berpuas hati dengan hasil samun di premis berkenaan.

    

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, suspek berusia 34 tahun, sebelum itu berpura-pura membeli minuman di premis berkenaan di Jalan Gajah, Triang.

    

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata suspek mengambil sebotol minuman dan pergi ke kaunter sambil menyatakan tiada duit sebelum keluar tanpa membayar.

    

"Suspek kemudian masuk semula ke dalam kedai berkenaan dengan bersenjata gunting besi dan bertindak menyamun jurujual wanita berusia 20 tahun sebanyak RM40," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata selepas tidak berpuas hati dengan wang yang diberikan wanita itu, suspek bertindak memecahkan pintu masuk serta dinding premis berkenaan.

    

"Jurujual itu memaklumkan kejadian kepada pemilik kedai dan hasil tindakan pantas polis, suspek berjaya diberkas di kawasan berhampiran kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

- Bernama